
Pengasas Gabungan Penggiat Pelancongan Dalam Negara, Uzaidi Udanis berkata mendulang emas popular dalam kalangan pelancong di Australia dan Alaska, Amerika Syarikat namun berdepan kes penipuan seperti emas tiruan, caj tersembunyi yang tinggi, tapak melombong palsu serta sijil ketulenan yang tidak sah.
“Jangan sampai Kelantan yang mahu dipromosikan sebagai ‘pusat emas’ akhirnya dikenali sebagai ‘pusat scam’. Risiko itu ada kerana kita bimbang ada pihak luar yang mengambil kesempatan untuk menipu pelancong,” katanya kepada FMT.
Uzaidi berpandangan usaha menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai produk pelancongan perlu mengambil kira faktor kesahihan dan piawaian bagi mengukuhkan keyakinan.
“Di kawasan itu memang banyak sungai yang dikatakan mempunyai emas, tetapi kita sendiri tidak pasti sejauh mana ketulenannya. Tambahan pula, tiada harga standard untuk emas yang ditemui secara tradisional, jadi potensi berlakunya penipuan seperti menjual emas palsu kepada pelancong memang tinggi,” katanya.
Uzaidi mengulas laporan mengatakan Kelantan bercadang memberi kebenaran kepada pelancong melakukan aktiviti mendulang secara tradisional tanpa membabitkan penggunaan jentera, bagi tujuan pelancongan agar pelancong boleh mencuba dan merasai kaedahnya, pada 21 Nov.
Perkembangan itu disebalik laporan Berita Harian terdahulu, bahawa jumlah pendulang di Hulu Kelantan meningkat 100%, selepas kerajaan negeri mengumumkan kebenaran mendulang emas dengan syarat tertentu bagi tanah kerajaan, pada sidang DUN 10 Nov.
Menurut Uzaidi, trend menunjukkan minat yang tinggi terhadap ‘pelancongan berasaskan pengalaman’ yang membolehkan pelancong melakukan aktiviti seperti memasak, mendulang atau kraftangan.
“Jika dibuat dengan betul, Kelantan boleh perkenal produk unik dan bawa manfaat ekonomi kepada kampung serta komuniti berhampiran sungai yang ada potensi emas,” katanya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Raslinda Ghazali, dari Universiti Utara Malaysia berkata mendulang emas boleh mengalakkan perkembangan pelancongan pendidikan dan warisan, namun kerajaan perlu membuat semakan terperinci kesan alam sekitar.
Katanya, aktiviti mendulang emas secara tidak terkawal boleh membawa pelbagai implikasi negatif terhadap alam sekitar, ekonomi tempatan dan keharmonian sosial.
Langkah itu juga berpotensi untuk pelancong menyalahgunakan kebenaran tersebut untuk mengaut hasil dan tinggal untuk jangka masa yang lebih panjang, tambahnya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan negeri mengenakan bayaran masuk kepada pelancong dan memperuntukkan satu kawasan yang dikendalikan oleh masyarakat setempat atau penduduk yang berkemahiran.
“Bagi menjaga kelestarian tempat tersebut, pelancong tidak dibenarkan membawa keluar hasil atau hanya dibenarkan membawa pulang dalam kuantiti yang amat kecil untuk disimpan sebagai memori,” katanya.