Polis tak kompromi mangsa banjir enggan pindah

Polis tak kompromi mangsa banjir enggan pindah

Polis berkata tindakan tegas itu demi elak kejadian tidak diingini, termasuk risiko mangsa terperangkap ketika paras air naik mendadak.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan tangguh pemindahan hanya akan menyukarkan operasi menyelamat, khasnya pada waktu malam dan ketika paras air naik dengan cepat. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis tidak akan berkompromi dengan mangsa banjir enggan berpindah, meskipun kediaman mereka dinaiki air sehingga menjejaskan keselamatan.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata tindakan tegas itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk risiko mangsa terperangkap ketika paras air meningkat secara mendadak.

“Jika ada mangsa enggan berpindah, polis akan mengarahkan mereka keluar dan tidak kekal berada di rumah atas alasan bimbang kecurian.

“Polis akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan ditinggalkan bagi memastikan tiada mangsa berada di rumah serta mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan menangguhkan pemindahan hanya akan menyukarkan operasi menyelamat, khasnya pada waktu malam dan ketika paras air meningkat dengan cepat.

Menurutnya, situasi banjir di Kelantan ketika ini masih terkawal dengan pemindahan penduduk di kawasan rendah terjejas akibat hujan lebat termasuk di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Sehingga kini, seramai 9,772 mangsa daripada 3,585 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.”

Beliau menasihatkan penduduk yang berpindah ke PPS membawa barangan berharga dan dokumen penting bagi mengelakkan kerugian.

“Setakat ini, tiada kes kecurian dilaporkan di rumah yang ditinggalkan mangsa. Kebiasaannya, laporan dibuat selepas banjir surut membabitkan kemusnahan harta benda.”

Kataya, polis juga mempertingkatkan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ketika musim banjir.

“Sekiranya air semakin tinggi, ada kemungkinan penyeludup mengambil kesempatan menggunakan bot atau perahu ke kawasan tertentu. Polis akan menyesuaikan strategi operasi bagi mencegah perkara itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.