Azam nafi pegawai SPRM acu senjata ketika tangkap Tei

Azam nafi pegawai SPRM acu senjata ketika tangkap Tei

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, tangkapan ahli perniagaan itu di kediamannya dijalankan ikut SOP.

Tangkap layar video tunjuk pegawai SPRM berkas Albert Tei di kediamannya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pegawainya mengacukan senjata ke kepala ahli perniagaan Albert Tei ketika memberkasnya awal hari ini.

Dalam kenyataan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, tangkapan Tei di kediamannya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pihaknya turut membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah terhadap pegawai terbabit.

“Laporan polis ini juga bagi memastikan tiada pihak-pihak tertentu menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih yang berkemungkinan dengan niat bagi mengganggu siasatan kes yang dijalankan SPRM ini,” katanya.

Terdahulu peguam Tei, Zaid Malek memaklumkan anak guamnya telah ditahan selepas SPRM menyerbu rumahnya pagi ini.

Zaid mendakwa, pegawai SPRM memasuki rumah ahli perniagaan itu di Puchong secara paksa sebelum menahan dan membawanya keluar dalam keadaan bergari.

Tei dibawa pulang ke rumah beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, Malaysiakini memetik Mahajoth Singh, yang mewakili Tei berkata, agensi antirasuah itu menggunakan waran untuk menyerbu rumah anak guamnya.

Menurut laporan portal berita it juga, isteri Tei mendakwa terdapat pegawai SPRM mengacukan pistol ke arah suaminya sebelum menggari ahli perniagaan itu.

Tei menjadi tumpuan skandal perlombongan di Sabah itu sedang dibicarakan atas dua tuduhan memberi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.