Agong kurnia surat cara lantik 5 hakim

Agong kurnia surat cara lantik 5 hakim

Surat dikurnia kepada Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah selain Hakim Mahkamah Persekutuan Che Mohd Ruzima Ghazali, Nazlan Ghazali, Azimah Omar dan Collin Lawrence Sequerah.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tengah) berkenan bergambar bersama Wan Ahmad Farid Wan Salleh (lima dari kiri), Azalina Othman Said (lima dari kanan) serta Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah (tiga dari kiri) serta empat Hakim Mahkamah Persekutuan Collin Lawrence Sequerah, Che Mohd Ruzima Ghazali, Nazlan Ghazali, Azimah Omar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lima hakim di Istana Negara.

Istiadat berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah.

Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada empat Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Che Mohd Ruzima Ghazali, Nazlan Ghazali, Azimah Omar, dan Collin Lawrence Sequerah.

Antara yang hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, menurut Bernama.

Hashim yang sebelum ini hakim Mahkamah Rayuan, dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan Hasnah Hashim yang bersara wajib pada 14 Nov.

Che Mohd Ruzima, Nazlan, Azimah, dan Sequerah masing-masing turut berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik hakim Mahkamah Persekutuan.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.