
Di Selangor, jumlah mangsa menurun kepada 993 daripada 291 keluarga, berbanding 1,038 daripada 304 keluarga malam tadi.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 19 PPS masih beroperasi melibatkan empat daerah, iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam, dan Sepang.
Di Perak, jumlah mangsa turut mencatat penurunan dengan 3,156 daripada 927 keluarga masih berlindung di 19 PPS, berbanding 3,228 daripada 947 keluarga malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan Hilir Perak kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 1,553, diikuti Bagan Datuk (843), Manjung (465), Perak Tengah (280) serta Larut, Matang dan Selama (15).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam di beberapa daerah termasuk Muallim, Batang Padang, Kampar, Kinta, Bagan Datuk, Perak Tengah, dan Manjung.
Di Pahang, jumlah mangsa kekal 124 daripada 34 keluarga yang ditempatkan di enam PPS melibatkan 92 di empat PPS di Bera, manakala 25 di Maran dan tujuh orang di Kuantan masing-masing di sebuah PPS.
Di Perlis, jumlah mangsa terus berkurang kepada 331 setakat 8 pagi ini, berbanding 551 malam tadi yang ditempatkan di empat PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar, dan Arau.