Jangan gopoh semak undang-undang reman susulan serbuan Chow Kit, tegur Ramkarpal

Jangan gopoh semak undang-undang reman susulan serbuan Chow Kit, tegur Ramkarpal

Ahli Parlimen DAP turut ingatkan menteri KDN agar tidak jatuh hukum awal terhadap mereka yang ditahan kerana boleh jejaskan integriti siasatan polis.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, perubahan undang-undang reman boleh lemahkan jaminan perlindungan penting perlembagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membidas gesaan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk menyemak semula undang-undang reman susulan serbuan polis ke atas sebuah kelab kesihatan di Chow Kit, yang disyaki menjadi sarang kegiatan tidak bermoral baru-baru ini.

Ahli Parlimen DAP itu memberi amaran bahawa perubahan sedemikian boleh melemahkan jaminan perlindungan penting perlembagaan.

Beliau berkata, syarat tempoh 24 jam di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, yang menetapkan bahawa seseorang tahanan mesti dihadapkan ke hadapan majistret dalam masa sehari selepas ditangkap, adalah satu perlindungan penting terhadap penyalahgunaan proses serta melindungi hak kebebasan tahanan seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan menambah tempoh reman tersebut atas alasan ketidakcekapan polis, antara lainnya, adalah tindakan yang tidak berasas dan sewajarnya ditolak.

“Tidak dapat dipastikan sama ada Saifuddin telah berunding dengan pihak berkepentingan lain selain pihak polis sebelum membuat kenyataan berhubung cadangan semakan undang-undang tersebut.

“Sekiranya tidak, beliau sepatutnya tidak membuat kenyataan sedemikian secara terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus bahawa majistret menolak permohonan reman terhadap 171 individu yang ditangkap dalam serbuan Jumaat lalu kerana permohonan tersebut lewat dikemukakan.

Menurut Fadil, kelewatan itu berpunca daripada jumlah tangkapan yang ramai serta keperluan memproses setiap kes satu persatu.

Semalam, Saifuddin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula perundangan sedia ada susulan pembebasan 171 individu tersebut.

Beliau berkata, kelemahan undang-undang menyukarkan agensi penguatkuasaan apabila berdepan dengan operasi berskala besar dan rumit seperti yang berlaku di Chow Kit, lapor New Straits Times.

Tambahnya, mereka yang ditahan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral, pendirian yang disifatkan Ramkarpal sebagai tidak wajar.

“Kenyataan seperti itu jelas bercanggah dengan prinsip asas bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Saifuddin seharusnya lebih berhati-hati dan tidak membuat apa-apa kesimpulan yang boleh menjejaskan integriti proses siasatan,” kata Ramkarpal.

Ramkarpal turut mengulas laporan bahawa seorang pegawai tadbir dan diplomatik yang ditahan dalam serbuan itu telah diarah meletak jawatan serta-merta.

Beliau berkata, tindakan itu bercanggah dengan Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seseorang penjawat awam mesti diberi peluang munasabah untuk didengar sebelum dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Beliau menegaskan, tiada seorangpun antara mereka yang ditahan telah didakwa, apatah lagi disabitkan kesalahan.

“Pihak berkuasa tidak patut mewujudkan suatu keadaan yang akan membolehkan pemecatan penjawat awam secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

“Isu ini berkait rapat dengan kedaulatan undang-undang dan keperluan memelihara proses keadilan sebagai asas mana-mana sistem demokrasi yang perlu dijamin oleh kerajaan pada setiap masa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.