Pindaan dua akta perkukuh rangka kerja perlindungan sosial

Pindaan dua akta perkukuh rangka kerja perlindungan sosial

FMM kata pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan mencerminkan komitmen kerajaan meningkatkan perlindungan pekerja dan mengukuhkan daya tahan pasaran buruh.

kilang
Pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja yang menyediakan perlindungan 24 jam reformasi besar dalam menangani kemalangan di luar waktu kerja, kata FMM. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang menyediakan perlindungan 24 jam kepada lebih 9.6 juta pekerja termasuk pekerja asing menandakan reformasi besar dalam menangani jurang yang telah lama wujud berkaitan kemalangan di luar waktu kerja.

“Reformasi itu perlu dilaksanakan secara telus dan dengan panduan operasi yang jelas untuk majikan,” menurut kenyataan.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pelaksanaan skim berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum Perkeso kehilangan pekerjaan, serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

FMM menyokong penambahbaikan yang lebih menyeluruh bawah pindaan itu, di samping menegaskan sebarang peningkatan manfaat perlu disertai dengan pengurusan kewangan yang berhemat, semakan penggunaan secara berkala, dan penglibatan berterusan pihak majikan bagi memastikan kemampanan dana dalam jangka panjang.

FMM turut menyambut baik penambahbaikan manfaat EIS, termasuk kenaikan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), peningkatan had yuran latihan, penambahbaikan elaun latihan serta peningkatan Elaun Bantuan Mobiliti, sambil menyatakan bahawa langkah berkenaan mengukuhkan Dasar Pasaran Pekerja Aktif (ALMP).

Soh berkata pindaan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan meningkatkan perlindungan pekerja dan mengukuhkan daya tahan pasaran buruh. Beliau menegaskan pelaksanaan yang telus serta tadbir urus yang kukuh akan membantu membina tenaga kerja yang lebih yakin dan produktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.