
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata desakan itu tidak cukup kuat untuk mencetuskan perubahan kepimpinan kerana ia datang daripada negeri yang mempunyai dinamika politik tersendiri.
“Gesaan itu tidak mempunyai sengat kerana datang daripada Setiausaha Bersatu Sabah. Muhyiddin juga tidak boleh dipersalahkan 100% atas kekalahan PN pada pilihan raya itu.
“Jadi sebab itu saya lihat tekanan itu memang sudah ada tetapi mesti daripada di luar lengkungan Sabah itu, ataupun yang paling baik adalah daripada Semenanjung,” katanya kepada FMT.
Semalam Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin menggesa Muhyiddin meletak jawatan presiden parti dan pengerusi PN, berikutan kekalahan teruk pada PRN Sabah ke-17.
Yunus turut menyifatkan keputusan PRN sebagai ‘memalukan’ dan ‘tamparan hebat’ kepada jentera, calon dan akar umbi.
Pilihan raya pada Sabtu menyaksikan Bersatu tewas di semua DUN ditandingi, manakala PN terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi yang dimenangi oleh calon daripada PAS.
Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula menyifatkan gesaan itu sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan, malah berpotensi membuka episod perebutan kuasa dalam parti.
Tambahnya lagi, kegagalan besar di Sabah bukan semata-mata isu taktikal, sebaliknya mungkin mencerminkan dinamika kuasa yang lebih kompleks dalam parti.
“Kegagalan total di Sabah menimbulkan tanda tanya, adakah kelemahan ini berpunca daripada kesilapan teknikal semata-mata atau ada unsur melemahkan dari dalam untuk mencipta momentum desakan terhadap presiden,” katanya.
Menurutnya, jika tekanan agar Muhyiddin berundur terus meningkat, sosok paling menonjol untuk mengambil alih kepimpinan adalah Hamzah Zainudin.
Katanya, ini sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya strategi terselindung untuk mencetuskan momentum pertukaran presiden.
“Jika benar, ini adalah strategi kuasa yang licik iaitu menggunakan kegagalan sebagai batu loncatan untuk naik ke puncak kepimpinan,” katanya.