Mampukah Warisan penuhi harapan pengundi Cina?

Mampukah Warisan penuhi harapan pengundi Cina?

Timbul persoalan bagaimana Warisan tanpa akses kepada kerajaan negeri boleh memenuhi keperluan masyarakat Cina yang menyokong parti itu pada PRN Sabah.

pengundi cina voter

Keputusan PRN Sabah ke-17, Sabtu lalu menyaksikan dinamika baharu sokongan pengundi Cina sekali gus mencorakkan keputusan keseluruhan pilihan raya dan hala tuju politik negeri itu.

Walaupun kelompok itu bukan yang terbesar di Sabah, pengaruhnya jelas terasa di beberapa kerusi bandar dan separa bandar yang boleh menjadi penentu kemenangan.

Pada awalnya, kerjasama politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) disasarkan mampu membentuk pentadbiran negeri sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah 37 kerusi.

GRS diramal menang sekitar 25 DUN, manakala selebihnya dijangka disumbangkan PH sebagai rakan gabungan. Namun, keputusan sebenar di peti undi jauh berbeza daripada jangkaan.

GRS menang 29 kerusi, tetapi PH yang bertanding 22 DUN hanya meraih satu kerusi iaitu di Melalap, jauh daripada harapan awal untuk menjadi blok penentu dalam kerajaan negeri.

Dalam konteks ini, pergerakan undi di kawasan bandar majoriti pengundi Cina menjadi tumpuan utama selepas berlaku hayunan besar yang memihak kepada Warisan. Parti itu membuat kejutan dengan menembusi hampir semua kerusi bandar yang sebelum ini menjadi kubu selesa DAP.

Warisan merampas Luyang, Likas, Sri Tanjong, Tanjong Papat, Elopura dan Kapayan – enam kerusi signifikan yang memberi tamparan hebat kepada DAP. Keputusan ini bukan sahaja menamatkan dominasi DAP di kawasan bandar, malah menyingkirkan parti itu terus daripada DUN Sabah.

PKR turut menerima tempias apabila kehilangan kerusi Api-Api, satu lagi kawasan majoriti Cina, selain tersungkur di Inanam yang mempunyai komposisi pengundi bercampur. Kekalahan itu mengesahkan pola penolakan jelas terhadap PH di kawasan bandar.

Keputusan mengejutkan itu mungkin sukar diterima penyokong PH kerana beberapa penyandang sebelum ini dianggap berkhidmat dengan baik. Antaranya Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe, yang sebelum ini Adun Luyang tetapi bertanding di Likas kali ini.

Beliau memiliki rekod prestasi baik dalam kerajaan. Sebagai menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan, Phoong memainkan peranan besar meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan utama negara. Nilai kelulusan pelaburan RM10.9 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 sering disebut sebagai pencapaian pentingnya.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivien Wong Shir Yee, turut menjadi korban apabila kalah di Elopura. Ketika krisis bekalan air di daerah itu pada September lalu, beliau giat membantu mengagihkan bekalan air selain mempermudah pengisian minyak diesel di genset Loji Segaliud.

Namun, prestasi pentadbiran tidak memadai untuk menahan gelombang sentimen tempatan. Kempen Warisan yang dilihat berjaya memposisikan DAP sebagai parti ‘luar’ dilihat antara faktor utama yang menghakis sokongan kepada PH dalam kalangan pengundi Cina.

Siapa wakil Cina dalam kerajaan?

Pasca PRN, timbul persoalan besar berkaitan wakil daripada komuniti Cina dalam kerajaan negeri. Dengan wakil Cina terhad dalam blok kerajaan, siapa yang akan mengangkat isu-isu masyarakat itu dalam pentadbiran negeri?

Dalam keadaan Warisan berada di blok pembangkang, akses wakil rakyatnya kepada sumber kerajaan menjadi terhad. Ini menimbulkan keraguan mengenai kemampuan mereka memberikan perkhidmatan optimum kepada pengundi bandar yang memberikan sokongan besar kepada parti itu.

Hanya masa menentukan sama ada wakil rakyat Warisan mampu menunaikan tanggungjawab mereka tanpa kelebihan yang dimiliki wakil kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri, Masidi Manjun, memberi jaminan ketiadaan wakil etnik Cina dalam Kabinet Sabah baharu tidak menjejaskan prinsip inklusiviti kerajaan negeri

Adun Tanjung Kapor Ben Chong adalah satu-satunya pemimpin Cina dalam Kabinet itu dengan memegang jawatan pembantu menteri kewangan.

Pada masa sama, kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor cuba mengimbangi kekosongan itu melalui enam Adun dilantik. Daripada jumlah itu, tiga individu dilihat mewakili suara masyarakat Cina.

Mereka ialah bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS), Roger Chin; Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP), Chin Shu Ying; dan Ketua PKR Kota Kinabalu, Grace Lee – masing-masing membawa latar berbeza namun berkongsi platform untuk mewakili segmen pengundi bandar.

Roger mungkin menjadi tokoh paling menonjol antara mereka kerana peranannya dalam memperjuangkan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah. Usaha pasukan itu membawanya ke mahkamah kini dilihat membuahkan hasil.

Perbincangan semula tuntutan kini berjalan dengan kerajaan persekutuan dan disokong komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikannya segera. Jika berjaya, Sabah bakal menikmati lebih banyak dana untuk membangunkan negeri itu.

SLS turut diminta terlibat dalam penyediaan kerangka Dana Kekayaan Berdaulat Sabah (SSWF), satu inisiatif ekonomi jangka panjang yang diimpikan kerajaan GRS untuk memastikan hasil negeri dapat dinikmati generasi akan datang.

Namun, pelantikan Roger sahaja tidak cukup untuk merapatkan jurang sokongan pengundi Cina terhadap kerajaan negeri. GRS, bersama rakan-rakan seperti DAP dan PKR, perlu melipatgandakan usaha untuk memahami semula keutamaan pengundi bandar.

Tanpa usaha sistematik, kerusi-kerusi bandar ini berpotensi kekal sebagai kubu kuat Warisan untuk jangka masa panjang, sekali gus mengubah peta kuasa politik Sabah pada pilihan raya mendatang.

Pengundi Cina telah menunjukkan kuasa mereka sebagai penentu keputusan di kawasan kritikal.

Soalnya kini, parti manakah paling cepat belajar daripada isyarat itu – dan siapa yang akan meraih kembali sokongan mereka menjelang PRN akan datang?

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.