Hajiji ‘baik hati’ lantik Adun Cina dalam Kabinet

Hajiji ‘baik hati’ lantik Adun Cina dalam Kabinet

Fui K Soong berkata ketua menteri tiada kewajipan untuk melantik Ben Chong daripada GRS sebagai pembantu menteri selepas tindakan pengundi Cina menyokong Warisan.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor melantik Ben Chong daripada GRS sebagai pembantu menteri dalam Jemaah Menteri susulan kemenangan di Tanjong Kapor, Sabtu lalu.
PETALING JAYA:
Pengasas bersama badan pemikir CENSE menyifatkan Hajiji Noor sebagai ‘baik hati’ susulan tindakannya melantik Adun Cina menganggotai Jemaah Menteri walaupun kaum itu menunjukkan sokongan kuat kepada Warisan dalam PRN, Sabtu lalu.

Fui K Soong yang sebelum ini mengulas corak pengundian golongan pengundi Cina Sabah berkata, Hajiji tiada kewajipan untuk melantik Ben Chong sebagai pembantu menteri.

Pada PRN 29 Nov lalu, DAP – parti yang sebelum ini mendapat sokongan kuat pengundi Cina – hilang semua lapan kerusi ditandinginya, dengan Warisan mengaut enam daripada kerusi tersebut.

Chong menang di Tanjong Kapor dengan majoriti 359 undi atas tiket GRS dalam pertandingan 11 penjuru. Beliau adalah ketua bahagian Tanjong Kapor bagi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), iaitu komponen GRS pimpinan Hajiji.

Fui berkata, Chong dilantik melalui sokongan pengundi bukan Cina yang merupakan majoriti di kawasan berkenaan.

“Jadi saya tidak lihat kenapa Gabungan Rakyat Sabah mahu seolah-olah memberi ganjaran kepada masyarakat Cina pula. Pelantikan Chong adalah usaha Hajiji untuk ‘berdamai’ dengan masyarakat Cina selepas mereka memilih menyokong Warisan,” katanya kepada FMT.

Fui mengulas kritikan terhadap Warisan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee mengenai kekurangan perwakilan Cina dalam Jemaah Menteri Sabah.

Menurut Daily Express, Yong menyalahkan Warisan kerana mengakibatkan orang Cina kembali menyokong pembangkang.

Susulan komen bekas ketua menteri itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking seperti berdelusi kerana menyalahkan parti pembangkang atas kekurangan perwakilan Cina dalam pentadbiran Hajiji.

Dalam hantaran di Facebook, Leiking berkata pembentukan Jemaah Menteri adalah prerogatif mutlak ketua menteri. Katanya, jika SAPP tidak berpuas hati dengan kurangnya wakil Cina dalam Kabinet, pertikaian itu sepatutnya ditujukan kepada kerajaan yang memerintah.

Selain itu, Fui melihat pelantikan Chong sebagai kritikan terhadap SAPP kerana keluar daripada GRS menjelang PRN.

Beliau turut melihat persamaan dengan cara golongan elit politik Sarawak melayan masyarakat Cina di negeri itu sebelum ini, apabila mengetepikan mereka dan seolah-olah memaksa bertahan sendirian sebelum akhirnya kembali kepada kerajaan.

“Taib memang tiada belas kasihan selepas ditolak masyarakat Cina,” katanya merujuk kepada bekas ketua menteri Abdul Taib Mahmud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.