PRN Sabah ‘pandangan sinis’ rakyat yang mahukan perhatian, dakwa sarjana

PRN Sabah ‘pandangan sinis’ rakyat yang mahukan perhatian, dakwa sarjana

Bekas rektor Dzulkifli Abdul Razak berkata semua kecuali seorang calon PH kecundang meskipun hampir setiap hari rakyat Sabah dengar 'Madani itu dan ini'.

ANWAR IBRAHIM-GRAND FINALE HARAPAN URANG SABAH
Rakyat Sabah melalui proses demokrasi minggu lalu yang menyaksikan GRS mendapat kerusi terbanyak dengan 29 DUN.
PETALING JAYA:
Keputusan PRN Sabah ke-17 disifatkan ‘pandangan sinis’ rakyat yang mahukan perhatian pada hak mereka yang tersisih, menurut seorang sarjana.

Bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas naib canselor Universiti Sains Malaysia, Dzulkifli Abdul Razak, berkata semua kecuali seorang calon Pakatan Harapan (PH) kecundang meskipun hampir setiap hari rakyat Sabah dengar ‘Madani itu dan ini’.

Dzulkifli mendakwa, slogan dan retorik berapi-api PH tidak menyentuh cita rasa rakyat tempatan, yang mengidamkan perkara jauh lebih asas dan ahli politik melaksanakan apa diucapkan.

“Hanya prasarana asas sebuah kota sederhana selepas begitu lama,” katanya dalam catatan bertajuk ‘Bahasa Putrajaya membawa igauan tersendiri’.

Dzulkifli merujuk kepada pembangunan Kota Madani di Putrajaya, merangkumi 10,000 kuarters untuk penjawat awam yang ditanggung Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

“Ini mendapat pandangan sinis dari rakyat Sabah yang lebih memerlukan perhatian hak yang tersisih – bukan satu lagi kota dalam kota.

“Tertanya-tanya juga mengapa Kota Madani tidak di Sabah kerana tidakkah Putrajaya itu sudah Madani mengikut enam rukun yang dikenakan? Di mana kurangnya?”

Dzulkifli berpandangan, PH perlu mengambil berat teguran kumpulan profesional, awam dan individu berhubung prestasi kerajaan sepanjang ia mentadbir Malaysia.

“Natijahnya, jika pemain-pemain Madani boleh diketepikan sekelip mata, sudah tentu Madani sebagai kerangka utama mengalami nasib yang sama bak ekoran PRN Sabah,” katanya.

Pada PRN Sabah 29 Nov lalu, PH menang satu kerusi iaitu di Melalap, daripada 22 kerusi ditandingi. DAP kalah di semua lapan kerusi ditandinginya, manakala PKR kehilangan dua kerusi tradisi iaitu Api-Api dan Inanam.

Penganalisis berpendapat, kekalahan PH di Sabah kerana penyokong yang tidak berpuas hati memilih Warisan atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggap sebagai alternatif kepada PH.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda, bagaimanapun berkata kekalahan PH di Sabah bukan disebabkan rakyat negeri itu mempunyai banyak alternatif, sebaliknya ia disebabkan sentimen kenegerian yang dimainkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.