Shamsul, Tei mengaku tak salah tuduhan rasuah lebih RM64,000

Shamsul, Tei mengaku tak salah tuduhan rasuah lebih RM64,000

Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri dan ahli perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Albert Tei
Shamsul Iskdandar Akin dan Albert Tei mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nasir Nordin.
SHAH ALAM:
Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei, didakwa di Mahkamah Sesyen masing-masing atas satu pertuduhan rasuah melibatkan RM64,924.

Shamsul, 51, dan Tei, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nasir Nordin.

Shamsul didakwa menerima suapan sebagai dorongan membantu syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Tei didakwa memberikan suapan iaitu wang berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik seorang individu, Rahmalidya Buyong, bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Kuala Lumpur.

Suapan itu didakwa diberikan antara 28 Nov 2023 dan 23 Sept 2024.

Pertuduhan terhadap Shamsul dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, manakala Tei didakwa bawah Seksyen 17(b) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abra.

Shamsul diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Tei diwakili Rajesh Nagarajan, Mahajoth Singh, Eric Paulsen dan Rajesh Nagarajan.

Terdahulu, Farah memohon mahkamah mengguna pakai terma dan syarat jaminan sama terhadap empat pertuduhan lain dihadapi Tei dan Shamsul di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Hakim membenarkan permohonan tersebut, serta kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan secara bersekali di mahkamah itu.

Semalam, Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Shamsul diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin, dan mengarahkan pasportnya dirampas sehingga kes selesai. Beliau juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Mahkamah sama juga membenarkan Tei diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.