
Namun, sinarnya semakin pudar dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila tenggelam dalam masalah kewangan, kontroversi tadbir urus dan pertikaian undang-undang, selain dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Julai tahun ini.
Ditubuhkan pada 1998, Sarawak Cable pada awalnya kelihatan memiliki semua yang diperlukan untuk berkembang maju.
Syarikat itu mencatat kemajuan ketara selepas penyenaraiannya pada 2010, sehingga menjadi pengeluar kabel tenaga terbesar di Malaysia dengan hasil tahunan melebihi RM1.2 bilion.
Sarawak Cable melalui fasa pertumbuhan pesat dan pengembangan perniagaan melalui beberapa langkah strategik selepas disenaraikan.
Langkah paling penting ialah pengambilalihan dua pesaing — Universal Cable (M) Bhd dan Leader Cable Industry Bhd (LCIB) — pada 2014 dengan nilai keseluruhan RM210 juta.
Penggabungan itu menjadikan entiti berkenaan sebagai pengeluar kabel terbesar di Malaysia selain antara peneraju di Asia Tenggara.
Langkah itu juga membolehkan kumpulan melebarkan sayap ke pasaran eksport bernilai tinggi seperti Australia, Singapura, New Zealand dan Timur Tengah.
Dalam usaha beralih ke rantaian nilai lebih tinggi, syarikat itu mempelbagaikan perniagaannya daripada sekadar pengeluar kabel kepada penyedia penyelesaian kuasa bersepadu.
Ini termasuk menawarkan perkhidmatan seperti fabrikasi tiang dan menara keluli, galvanisasi celup panas, pembinaan talian penghantaran serta pembinaan mini hidro.
Langkah itu membolehkan kumpulan berkenaan meraih beberapa kontrak lumayan, termasuk projek talian penghantaran 500kV bernilai RM619 juta di Sarawak, kontrak bekalan projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan kerja-kerja di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di Pengerang, Johor.
Sokongan pemegang saham
Kekuatan syarikat itu turut disokong dengan sokongan kukuh kerajaan Sarawak serta profil pemegang saham yang sangat berpengaruh.
Kerajaan negeri melabur melalui Sarawak Energy yang memberi akses kepada projek tenaga di bawah syarikat utiliti negeri itu serta TNB.
Lebih signifikan, pemegang saham terbesar syarikat ialah Mahmud Abu Bekir Taib, anak kepada bekas ketua menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud.
Beliau memegang 18.64% kepentingan manakala Sarawak Energy merupakan pemegang saham ketiga terbesar dengan 13.13% setakat Mac tahun ini.
Abu Bekir berkhidmat sebagai pengerusi bukan eksekutif bermula 2009 sebelum bertukar peranan sebagai pengarah bukan eksekutif pada akhir 2024.
Diterajui tokoh korporat yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri dianggap, sama ada tepat atau tidak, sebagai kelebihan besar buat Sarawak Cable.
Namun realitinya jauh berbeza.
Masalah pembelian helikopter
Pengkritik berpendapat masalah Sarawak Cable bermula apabila kepemimpinannya membuat keputusan penting untuk keluar daripada teras perniagaan asal.
Walaupun usaha mempelbagaikan perniagaan boleh menjadi strategi bijak, beberapa langkah Sarawak Cable menimbulkan persoalan dan akhirnya membawa padah kewangan.
Keputusan paling menghairankan ialah pembelian sebuah helikopter Airbus EC225 Super Puma baharu pada 2016 bernilai kira-kira RM100 juta, untuk disewa bagi projek infrastruktur dan talian tenaga.
Namun, usaha mempelbagaikan perniagaan ke sektor penerbangan musnah akibat insiden malang. Pada April 2016, tidak lama selepas helikopter itu diterima, sebuah helikopter Super Puma yang sama jenis terhempas di Laut Utara, menyebabkan semua helikopter EC225 di seluruh dunia digantung operasi.
Penggantungan itu memberi tamparan hebat kepada aliran tunai syarikat kerana tidak dapat menjana pendapatan meskipun kos pembiayaan terus berjalan. Menjelang 2020, syarikat terpaksa meninggalkan perniagaan helikopter selepas kerugian terus meningkat.
Langkah mempelbagaikan perniagaan ke projek talian penghantaran turut menghadapi masalah.
Pada 2014, syarikat dianugerahkan kontrak bernilai RM257 juta oleh Petronas untuk membina talian penghantaran voltan tinggi 275kV di projek penapisan dan pembangunan petrokimia Rapid di Pengerang, Johor.
Projek itu yang sepatutnya siap pada 2016, mengalami lebihan kos dan kelewatan, sekali gus meningkatkan kos dan penalti. Ia hanya siap pada 2018, menyebabkan syarikat terbeban dengan bayaran ganti rugi kelewatan.
Masalah projek Rapid menyumbang kepada kerugian pra-cukai RM47.6 juta bagi segmen pembinaan talian penghantaran. Ini menyebabkan Sarawak Cable mencatat kerugian bersih tahunan pertama (RM36.3 juta) dalam tempoh lebih sedekad pada tahun kewangan 2017.
Keadaan semakin merudum selepas itu dengan syarikat berdepan kerugian besar, saman pemiutang dan dakwaan salah urus.
Kemelut kewangan
Pada September 2022, juruaudit luar menandakan situasi kewangan syarikat sebagai kritikal. Mereka mengeluarkan disclaimer of opinion (penafian pendapat) terhadap penyata tahun kewangan 2022 kerana gagal memperoleh bukti audit mencukupi.
Ia turut menyatakan keraguan besar terhadap kemampuan syarikat untuk terus beroperasi.
Sarawak Cable kemudian diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia, yang mewajibkan syarikat bermasalah kewangan menyediakan pelan pemulihan untuk mengekalkan status penyenaraian.
Menjelang akhir 2023, pinjaman dan hutang kumpulan mencecah RM393.77 juta. Syarikat serta subsidiari terasnya, Universal Cable dan Leader Cable Industry, disaman bank pemiutang.
Mahkamah Tinggi meletakkan Sarawak Cable di bawah pengurusan kehakiman interim pada Julai 2023 susulan tuntutan bayaran yuran guaman yang tertunggak, menjadikan usaha penstrukturan semula lebih rumit.
Percubaan menghidupkan kembali syarikat melalui pelabur ‘white knight (penyelamat) — Serendib Capital Ltd dari UK — gagal pada Mei 2024 selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai hubungan kerja eksklusif.
Ini mencetuskan pertikaian undang-undang antara pihak terbabit, termasuk pengerusi ketika itu, Abu Bekir.
Dengan hutang terus meningkat dan masalah kecairan berlarutan, Sarawak Cable gagal memuktamadkan pelan pemulihan walaupun diberi beberapa lanjutan masa.
Bursa Malaysia menggantung dagangan saham syarikat pada 28 Mei dan menyahsenaraikannya pada 15 Julai.
Syarikat itu kini terus beroperasi sebagai entiti persendirian tidak tersenarai dengan hak pemegang saham dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016.
Meskipun keadaan kembali tenang selepas penyahsenaraian, prospek syarikat kekal suram kerana banyak perkara perlu dilakukan untuk menyelesaikan kekusutan kewangan yang melanda.
Dalam masa terdekat, tumpuan kini beralih kepada mahkamah untuk menentukan sama ada yang mampu diselamatkan daripada kemusnahan syarikat suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan Sarawak.