
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa majoriti peguam tidak lagi berminat dengan organisasi terbabit.
“Bar Council (Majlis Peguam) terlalu ‘partisan’, memihak dan lebih politik daripada parti politik.
“Majlis Peguam juga terlalu ‘selektif’ dalam isu yang mereka perjuangkan. Mereka tutup mata jika perbicaraan tidak adil berlaku kepada individu yang mereka tidak suka,” katanya di Facebook.
Beliau mendakwa timbul persoalan mengapa Majlis Peguam membisu apabila orang politik seperti Latheefa Koya dilantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.
Selain itu, pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara pada tahun sama yang didakwa mempunyai pengaruh politik.
Adun Rengit itu mengulas laporan FMT yang hanya 15% daripada 25,338 kertas undi bagi pemilihan pimpinan Majlis Peguam bagi penggal 2026-2027 dikembalikan, jumlah terendah dalam tempoh lima tahun.
Tahun lalu, peratusan kertas undi pos dikembalikan ialah 22%, pada 2023 (20%), 2022 (24%) dan 2021 (27%).
Mengulas sambutan hambar itu, bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata sikap tidak ambil peduli di kalangan peguam di institusi bebas berkenaan perlu ditangani segera.
Menurut keputusan diumumkan Selasa lalu, tujuh peguam berusia lingkungan 30-an antara 16 yang terpilih, Gregory Das iaitu anak kepada bekas presiden Majlis Peguam Cyrus Das memperoleh undi tertinggi dengan 1,531 undi.
Beliau diikuti Azmi Mohd Ali dengan 1,508 undi dan Larissa Ann Louis yang memperoleh 1,475 undi.
Turut terpilih Yasmeen Shariff, R Jayabalan, Abang Iwawan Narawi, Kee Hui Yee, Abhilaash Subramaniam, Murshidah Mustafa, Marisa Regina Aris Rizal, V Kokila Vaani, Collin Arvind Andrew, Farez Jinnah, Jeremiah Rais dan Chai Sim Ann.
Seramai 16 calon teratas akan menyertai 26 lagi wakil dari setiap negeri di Semenanjung untuk memilih presiden, setiausaha dan bendahari baharu Majlis Peguam.