Saya dan Bung berkawan baik selepas insiden 2018, kata wakil Puncak Borneo

Saya dan Bung berkawan baik selepas insiden 2018, kata wakil Puncak Borneo

Willie Mongin nafi beliau dan Bung Moktar Radin menyimpan dendam antara satu sama lain seperti disangka ramai selepas peristiwa itu.

Puncak Borneo MP Willie Mongin Bung Moktar Radin
Willie Mongin berkata beliau dan Bung Moktar Radin menjadi sahabat baik selepas insiden kontroversi di Parlimen pada 2018.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkongsi apa yang berlaku di sebalik tabir selepas perdebatan menarik tumpuan antara beliau dengan Bung Moktar Radin dalam sidang Dewan Rakyat pada 2018.

Willie yang ketika itu bersama PKR, berkata ramai beranggapan beliau dan Bung menyimpan dendam antara satu sama lain selepas kejadian itu, namun perkara itu tidak benar.

“Beliau memohon maaf di Parlimen dan sebaik keluar dewan, saya pergi berjumpanya. Kami berpelukan dan berjabat tangan, dan dia berkata: ‘Anak muda, saya tahu kamu pemimpin yang baik. Kamu masih perlu belajar banyak perkara, tapi janganlah marah, kita sama-sama dari Borneo.’

“Selepas insiden itu, kami menjadi rapat. Malah dalam satu kejadian lain (pada 2020) apabila saya dituduh menunjukkan isyarat jari tengah, Bung bangun mempertahankan saya dan menafikan saya berbuat begitu.

“Sejak itu, kami berkongsi ‘semangat Borneo’ yang sangat kuat. Kami benar-benar bersahabat baik,” kata Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak itu.

Bung yang juga ketua Umno Sabah meninggal dunia kelmarin pada usia 66 tahun.

Willie berkata beliau kali terakhir makan bersama Bung di Parlimen dua minggu lalu, dengan wakil Kinabatangan sejak 1999 itu berkongsi cerita-cerita yang membuatkannya tidak kering gusi.

Katanya, Bung seorang yang lucu tetapi tegas dan perbahasannya di Dewan Rakyat sentiasa spontan tanpa teks ucapan disediakan.

“Beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tegas, berterus terang dan komited memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah. Semoga jasa dan pengorbanannya terus dikenang,” kata Willie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.