Tangguh e-invois bantu PMKS sesuaikan sistem tanpa jejas operasi, kata Samenta

Tangguh e-invois bantu PMKS sesuaikan sistem tanpa jejas operasi, kata Samenta

Wiliam Ng berkata kajian Samenta-IPSOS mendapati 26% PMKS mengalami gangguan operasi atau impak ketara susulan pengenalan e-Invois.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan akan meneliti cadangan menangguhkan pelaksanaan e-invois Fasa 5 bagi PMKS berpendapatan tahunan RM1 juta dan ke bawah.
PETALING JAYA:
Cadangan menangguhkan pelaksanaan e-invois Fasa 5 akan memberi ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan dengan sistem serta proses kerja tanpa menjejaskan operasi harian mereka.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng berkata langkah itu juga penting untuk memastikan agenda pendigitalan cukai dapat diteruskan secara tersusun dan praktikal.

William Ng
William Ng.

Menurutnya, penelitian semula itu wajar terutama selepas kajian Samenta-IPSOS pada September lalu mendapati 26% PMKS mengalami gangguan operasi atau impak ketara susulan pengenalan e-invois.

“Samenta sebelum ini mencadangkan PMKS dengan hasil di bawah RM1 juta dikecualikan daripada e-invois. Kerajaan memilih pendekatan konservatif dengan meletakkan had pengecualian pada RM500,000.

“Namun sejak keputusan itu dibuat, iklim perniagaan berubah ketara, termasuk isu kenaikan tarif, persaingan peniaga asing serta kos pematuhan baharu yang timbul pada Jun lalu,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan akan meneliti cadangan menangguhkan pelaksanaan e-invois Fasa 5 bagi PMKS berpendapatan tahunan RM1 juta dan ke bawah.

Lim dipetik berkata kaji selidik Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati lebih 85% pembayar cukai sudah mempunyai kesedaran mengenai pelaksanaan e-invois.

Sementara itu, lebih 90 % menyatakan mereka mempunyai pemahaman mencukupi hasil sesi taklimat dan webinar percuma serta berbayar yang dianjurkan LHDN dan pihak luar.

e-invois diperkenalkan secara berperingkat oleh LHDN mulai Ogos 2024 bermula dengan syarikat besar mencatat jualan bawah RM100 juta diikuti bawah RM25 juta mulai 1 Jan lalu.

Fasa keempat dan kelima masing-masing membabitkan pendapatan melebihi RM1 juta hingga RM5 juta (bermula 1 Jan 2026), serta sehingga RM1 juta (bermula 1 Julai 2026).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.