200,000 PKS dikecuali e-invois susulan kenaikan ambang RM1 juta

200,000 PKS dikecuali e-invois susulan kenaikan ambang RM1 juta

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berkata keputusan kerajaan itu memberi ruang bernafas kepada perusahaan dalam peralihan ke arah sistem digital untuk kewangan dan perakaunan mereka.

sop kilang
Samenta berkata kebanyakan PKS dengan pendapatan tahunan di bawah RM1 juta beroperasi dengan margin tipis dan tanpa infrastruktur digital yang diperlukan untuk melaksanakan e-invois dengan segera.
PETALING JAYA:
Kira-kira 200,000 lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dikecualikan daripada e-invois sususlan kenaikan ambang hasil tahunan kepada RM1 juta, kata sebuah kumpulan perdagangan.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyambut baik keputusan kerajaan itu, yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya dan berperikemanusiaan di tengah-tengah tekanan yang sedang dihadapi oleh PKS.

Presiden Samenta, William Ng, berkata kebanyakan daripada 200,000 PKS itu beroperasi dengan margin keuntungan tipis dan tanpa infrastruktur digital yang diperlukan untuk melaksanakan e-invois serta-merta.

“Bagi peniaga kecil, peningkatan ambang ini memberikan ruang bernafas yang amat diperlukan ketika mereka sedang berdepan kenaikan kos, ketidaktentuan tarif, persaingan yang semakin sengit daripada peniaga asing dalam talian, serta beban pematuhan lain yang tidak dijangka.

“Keputusan ini akan membolehkan peniaga-peniaga kecil menumpukan usaha untuk menstabilkan operasi, meningkatkan produktiviti dan menaik taraf proses dalaman tanpa takut kepada gangguan mendadak.

“Ia juga memastikan agenda pendigitalan negara yang lebih luas terus terpelihara, dengan memastikan pelaksanaannya berlaku pada kadar yang praktikal, mampan dan mengambil kira realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Namun begitu, Ng mengingatkan PKS bahawa ini tidak bermaksud mereka boleh melengahkan automasi dan pendigitalan. Beliau berkata pemilik perniagaan mesti menggunakan ruang masa tambahan ini untuk memperkukuh amalan perakaunan dan rekod kewangan mereka, sambil beralih secara beransur-ansur kepada sistem digital.

“Samenta merakamkan penghargaan kepada perdana menteri dan Kementerian Kewangan kerana mendengar suara komuniti PMKS serta mengambil pendekatan seimbang yang melindungi ketahanan ekonomi dan kemajuan negara dalam jangka panjang.”

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Jemaah Menteri memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan hasil tahunan di bawah RM1 juta daripada e-invois, yang berkuat kuasa pada 1 Jan.

Pada Jun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata Kementerian Kewangan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois bagi syarikat berpendapatan antara RM1 juta dan RM5 juta kepada 1 Jan 2026 daripada 1 Julai 2025 sebelum ini.

Pelaksanaan untuk syarikat dengan hasil tahunan sehingga RM1 juta, yang kini telah dibatalkan, sebelum ini dijadualkan ditangguhkan kepada 1 Julai 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.