
Presiden Wee Ka Siong, menegaskan bukan kali pertama MCA mengadakan AGM tanpa kehadiran wakil Umno dan MIC kerana ‘keberadaan’ komponen Barisan Nasional (BN) tidak termaktub dalam perlembagaan parti.
“Mungkin sebelum ini ada yang mempelawa pemimpin BN itu sebagai satu atur cara sekiranya parti merasakan perlu dibuat. Namun, ia bukan sesuatu yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.
“Kita jadikan ia sebagai program dalaman parti. Ia pernah berlaku sebelum ini dan bukannya sesuatu yang luar biasa,” katanya pada sidang media selepas AGM MCA.
Dalam pada itu, Wee turut meminta mana-mana pihak tidak menjadikan isu berhubung ketiadaan bendera BN pada AGM parti.
“Begitu juga dengan bendera, saya pergi Perhimpunan Agung Umno pun tiada bendera BN.
“Ini bukan soal letak bendera namun pelaksanaan perhimpunan agung yang lebih penting. Tidak perlu dijadikan isu,” katanya.
Sebelum ini, terdapat desakan berulang pelbagai pihak yang menyeru MCA meninggalkan gabungan itu, susulan pengaruhnya yang semakin merosot dalam kerajaan perpaduan.
Beberapa ketua bahagian dan pemimpin akar umbi berpendapat MCA sedang dipinggirkan dan perlu berdikari membina semula kekuatan.
Sebelum ini, Wee pernah memberitahu The Straits Times pada Jun, bahawa 191 mesyuarat perwakilan MCA akan ‘membincangkan hala tuju dan masa depan parti’ serta membawa cadangan mereka ke AGM.
Manakala, dalam Konvensyen tahunan MIC yang diadakan pada 16 Nov, putus menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN dan menyerahkan perkara berkenaan kepada Presiden SA Vigneswaran serta Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Namun, penganalisis mengingatkan MCA dan MIC agar tidak keluar BN, memandangkan kedudukan politik mereka yang kini semakin merosot.