PM sumbang royalti buku baharu bantu pelajar miskin

PM sumbang royalti buku baharu bantu pelajar miskin

Anwar Ibrahim berkata, pihaknya akan pastikan setiap sen royalti buku terbarunya disalur kepada pelajar kurang berkemampuan.

Orang ramai berpeluang sertai sesi tandatangan buku bersama Perdana Menteri di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim umum setiap sen royalti daripada buku terbarunya, “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times”, akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar kurang berkemampuan.

Menurutnya, buku itu akan diterbitkan pada peringkat global oleh Hurst untuk pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah; Penguin untuk Asia; dan Hong Kong University Press untuk China dan Asia Timur, dengan unjuran royalti dijangka besar.

“… kakitangan saya akan pastikan apabila royalti dihantar, setiap satu sen akan segera disalurkan kepada pelajar miskin di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran buku itu di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, hari ini.

Anwar berkata, naskhah buku itu bukanlah autobiografi semata-mata, tetapi mengupas isu keadilan, reformasi dan evolusi sosiopolitik Malaysia dalam menempuh era yang digelarnya sebagai ‘zaman pascanormal’.

Ia turut menyentuh pengalaman peribadi presiden PKR itu, termasuk tempoh pemenjaraan dan perjuangan politik beliau, selain memuatkan renungannya mengenai demokrasi, pascakolonialisme dan tatakelola.

Majlis pelancaran itu diserikan dengan kehadiran rakan strategik projek dan orang ramai yang berpeluang menyertai sesi tandatangan buku bersama perdana menteri.

“Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times” akan dijual dengan potongan harga 15% di Tsutaya Books sepanjang Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.