
Berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-30, Wee mendakwa Ahli Parlimen Nibong Tebal berkenaan disifatkan tidak kompeten dan tidak wajar dikekalkan menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
“Inilah pandangan majoriti rakyat tidak kira kaum atau golongan,” dakwa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Jelasnya, Malaysia memerlukan pemimpin berwawasan, berpandangan jauh dan berani melaksanakan pembaharuan untuk menerajui KPM kerana membabitkan masa depan negara.
“Kita berharap perdana menteri memandang serius sentimen rakyat (kerana) kuasa berada di tangan anda.
“Tolong ambil tindakan sewajarnya,” katanya yang pernah menjadi timbalan menteri pelajaran dari 2008 hingga 2013.
Wee mendakwa Fadhlina gagal menyelesaikan beberapa isu seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuek Ho Yao yang telah dibangkitkannya sebanyak lapan kali di Parlimen namun tidak dijawab.
Fadhlina, ketua Wanita PKR, telah berdepan banyak desakan supaya meletakkan jawatan berikutan beberapa insiden membimbangkan di sekolah yang melibatkan kes bunuh, rogol dan buli.
Semalam, FMT melaporkan penganalisis Azmi Hassan dipetik berkata Fadhlina dilihat paling berisiko digantikan dalam rombakan Jemaah Menteri, yang kedua sejak Anwar memegang jawatan pada November 2022.
Pejabat Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan rombakan itu akan diadakan tidak lama lagi.
Barisan Jemaah Menteri kini mempunyai empat jawatan kosong: ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan telah mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani mengendalikan portfolio sumber asli dan kelestarian alam.
Dua kekosongan itu berlaku selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR meletakkan jawatan pertengahan tahun ini.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pula mengetuai portfolio pembangunan usahawan dan koperasi buat sementara, selepas kekosongan susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu.