OnSA pastikan platform media sosial tak boleh lagi ‘lepas tangan’, kata persatuan

OnSA pastikan platform media sosial tak boleh lagi ‘lepas tangan’, kata persatuan

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata ia juga mengembalikan tanggungjawab berhubung kandungan kepada pihak sepatutnya.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (OnSA) menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (OnSA) yang akan berkuat kuasa bulan depan dilihat dapat mewujudkan ruang digital selamat selain memastikan penyedia platform media sosial tidak lagi boleh bersikap lepas tangan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata ia juga penting apabila tanggungjawab dapat dikembalikan kepada pihak sepatutnya dan bukan meletakkan bebanan kepada pengguna, ibu bapa dan pihak berkuasa.

“Akta ini bukan bertujuan menyekat suara rakyat tapi memastikan ruang digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Di bawah akta ini, tanggungjawab bukan hanya pada pengguna semata-mata tetapi syarikat yang menguruskan platform itu sendiri. Mereka tidak boleh lepas tangan lagi.

“Syarikat terbabit perlu mengambil tanggungjawab jelas terhadap kandungan, keselamatan pengguna muda dan cara sistem mereka berfungsi,” katanya kepada FMT.

OnSA menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.

Baru-baru ini, Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Yasin dipetik sebagai berkata, akta itu juga membolehkan Malaysia mempunyai autoriti menetapkan piawaian jelas bagi tempoh masa pemadaman dan pematuhan, bersama jangkaan 100% pematuhan daripada platform terhadap sebarang permintaan penurunan.

Menurutnya, pihak syarikat juga mesti menghantar pelan keselamatan untuk menjadikan kandungan berbahaya tidak boleh diakses.

Sementara itu, Siraj berkata pelaksanaan akta itu juga lebih kepada soal perlindungan dan had umur itu dianggap sebagai satu lapisan keselamatan.

“Realitinya sekarang, terlalu banyak kes buli siber, kandungan tidak sesuai dan pemangsaan berlaku kepada remaja yang masih belum matang.

“Had umur ini sekurang-kurangnya mewujudkan satu lapisan keselamatan. Ibu bapa pun lega sedikit kerana platform perlu sediakan kawalan yang lebih ketat,” katanya.

Pada masa sama katanya, platform media sosial perlu bersikap lebih tegas menurunkan kandungan berbahaya yang selama ini hanya bergantung kepada polisi masing-masing.

Katanya, ia penting untuk kes seperti penipuan, kandungan eksploitasi kanak kanak, ‘deepfake’ dan fitnah yang boleh memudaratkan orang ramai.

“Kewajipan melabel kandungan yang dibuat atau disunting dengan kecerdasan buatan (AI) juga satu langkah perlu.

“Hari ini ramai orang keliru antara apa yang asli dan apa yang palsu. Label ini membantu kurangkan kekeliruan dan elakkan panik yang tidak perlu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.