Inkues Zara Qairina: Warga sekolah padam akaun FB, takut diserang warganet

Inkues Zara Qairina: Warga sekolah padam akaun FB, takut diserang warganet

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu ramai warganet menabur fitnah dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap guru SMKA Tun Datuk Mustapha di media sosial.

Zara Qairina
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu warga sekolah termasuk guru takut untuk berada di tempat awam susulan serangan warganet di media sosial berhubung kematian  Zara Qairina Mahathir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha takut untuk berada di tempat awam susulan serangan warganet di media sosial berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.

Bekas penolong kanan hal ehwal murid sekolah itu, Asnie Marjan, mendakwa ramai warganet menabur fitnah dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap gurunya di media sosial.

“Ya, warganet membuat tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas terhadap guru.

“Ramai guru memadamkan akaun Facebook mereka. Ada yang takut pergi ke pusat beli-belah, kedai dan pasar,” katanya ketika memberi keterangan bagi prosiding inkues kematian remaja itu, menurut Berita Harian.

Saksi ke-57 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara.

Terdahulu, Shahlan bertanyakan mengenai serangan media sosial yang ditujukan kepada warga sekolah selepas Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Asnie yang kini bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Papar, berkata pihak sekolah telah melakukan yang terbaik.

Menurutnya, sebagai guru paling senior, beliau memilih untuk memberikan semangat kepada rakan-rakannya selepas insiden itu dan bukan menunjukkan kesedihan.

Dia turut ditanya peguam sama ada kecaman yang diterima sama dengan cara pelajar senior memperlakukan Zara pada malam 15 Julai namun Asnie berkata dia tidak pasti dan tidak dapat mengulas.

Shahlan turut menyoal mengenai tiga insiden iaitu sentuhan fizikal pada Mac, insiden membabitkan Zara pada Julai dan satu lagi kes sentuhan fizikal pada September.

Asnie menjawab: “Seperti yang saya jelaskan semalam, tuan – pendidikan tidak hanya berlaku di sekolah tetapi juga di rumah. Kami melaksanakan program disiplin yang pada pandangan saya agak baik.”

Menjawab soalan sama ada program di TDM berkesan mencegah kejadian seumpamanya berulang, beliau berkata: “Ya, program yang dirancang di sekolah adalah berkesan, tetapi ada kes terpencil.

“Kami masih ada 500 pelajar yang menunjukkan prestasi baik. Sepanjang saya berkhidmat di sana, kami ada sekitar 600 pelajar, dan program tersebut memberikan kesan. Tetapi adalah mustahil untuk menghasilkan pelajar yang 100% sempurna.”

Inkues bersambung pada 2 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.