
Walaupun data SKMM menunjukkan platform utama seperti Facebook telah memadam 92% daripada 697,061 kandungan berbahaya antara Januari 2024 dan November 2025, Timbalan Pengarah Urusan Zulkarnain Yasin, berkata masih terdapat 58,104 lagi yang ditinggalkan dalam talian, dan itu bukan jumlah kecil.
“Jika anda ambil 1% daripada jumlah keseluruhan itu, anda sudah melihat hampir 7,000 kandungan berbahaya yang masih wujud,” katanya kepada FMT.
Dengan 43 juta pengguna media sosial di Malaysia, beliau memberi amaran bahawa ‘ia mewakili jumlah besar bakal mangsa, justeru kadar pematuhan sahaja menyumbang kekeliruan’.
Zulkarnian berkata, jurang pematuhan itu mencerminkan bagaimana platform berkenaan bergantung pada peraturan penyederhanaan global mereka sendiri dan bukannya mempertimbangkan undang-undang dan konteks Malaysia.
“Kita menegaskan bahawa ini adalah kandungan bahaya. Tetapi, sama ada untuk memadamkannya atau tidak, ia bergantung kepada mereka dan penilaian sendiri,” katanya.
“Sebagai contoh, kandungan yang dimaksudkan itu boleh dianggap (pihak platform) sebagai bahan tidak berbahaya. Jadi, kita tiada kawalan ke atas perkara itu.”
Menurut data SKMM, kebanyakan kandungan yang dilaporkan melibatkan perjudian, penipuan kewangan, dan pembulian.
Daripada 438,520 hantaran berkaitan perjudian, 421,245 telah dipadam, meninggalkan 17,275 kekal dalam talian. Bagi fraud dan scam, 147,100 daripada 154,253 kiriman diturunkan, meninggalkan 7,153 masih boleh diakses.
Hantaran buli dan gangguan menyaksikan peningkatan mendadak, dengan 37,508 daripada 49,321 dipadam, meninggalkan 11,813 dalam talian, mengambil kira permintaan untuk memadam kandungan sedemikian meningkat 288%, antara 2024 dan 2025.
Zulkarnain berkata, angka itu hanya mewakili sebahagian persekitaran dalam talian kerana SKMM memantau beberapa platform utama sahaja, manakala banyak aplikasi lain kekal lebih sukar untuk dijejaki.
“Ini yang telah dilapor. Apa yang tidak dilapor lebih banyak lagi,” katanya.
“Apa yang belum dilaporkan, tiada siapa yang benar-benar tahu kecuali penyedia platform.”
Justeru, dengan berkuatkuasanya ONSA bulan depan, Zulkarnain berkata, Malaysia akan mempunyai autoriti menetapkan piawaian jelas bagi tempoh masa pemadaman dan pematuhan, bersama jangkaan 100% pematuhan daripada platform terhadap sebarang permintaan penurunan.
Pihak syarikat juga mesti menghantar pelan keselamatan untuk menjadikan kandungan berbahaya tidak boleh diakses.
“Kini, kita boleh buat lebih banyak lagi. Dengan ONSA, kita boleh mengenakan penalti ke atas mereka,” katanya.
“Akta ini bukan mengenai penapisan. Ia adalah mengenai kebertanggungjawaban. Keuntungan tidak boleh mengabaikan keselamatan.”