Saloma KL nafi dakwaan terbabit aktiviti meragukan

Saloma KL nafi dakwaan terbabit aktiviti meragukan

Pengurusan restoran itu menepis dakwaan dibuat seorang pengguna media sosial dalam siaran langsungnya.

Saloma Kuala Lumpur fb pic 101225
Saloma Kuala Lumpur telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu terhadapnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang pengguna media sosial dikenali ‘Muhammad Azri’, yang mengaitkan restoran itu dengan aktiviti meragukan.

Menurut syarikat itu, dakwaan berunsur fitnah itu bukan sahaja tidak berasas, malah telah mencemarkan imej mereka apabila beberapa klip video pendek tular di Facebook dan TikTok.

Jelasnya keadaan itu telah menimbulkan salah faham di kalangan orang ramai.

“Kami ingin menegaskan semua kenyataan dibuat dalam siaran langsung tersebut adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat,” kata pengurusan Saloma Kuala Lumpur dalam kenyataan.

Saloma Kuala Lumpur juga menegaskan mereka beroperasi secara sah dan mematuhi sepenuhnya undang-undang negara, selain tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tindakan mengaitkan aktiviti pihak lain dengan Saloma Kuala Lumpur adalah tidak bertanggungjawab dan menjejaskan reputasi kami,” katanya lagi.

Syarikat itu berkata ia telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

Tegasnya, mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk fitnah yang boleh menjejaskan integriti perniagaan.

“Kami kini mengambil semua langkah undang-undang yang perlu bagi melindungi kepentingan syarikat dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Saloma Kuala Lumpur turut menyeru orang ramai tidak membuat penilaian berdasarkan tuduhan tidak sahih dan menghargai sokongan pelanggan terhadap pembangunan perniagaan bumiputera itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.