
Peguam Jason Ong mempersoalkan kehadiran media semasa serbuan itu, sambil berkata ia membawa kepada tanggapan bahawa suspek bersalah dan menyebabkan mereka dimalukan secara terbuka.
Ong, bekas Adun Kebun Bunga di Pulau Pinang, berkata pihak berkuasa agama seharusnya menunjukkan rasa belas ihsan dan kepekaan ketika mengendalikan kes seperti itu.
“Secara objektifnya, kehadiran media adalah tidak perlu kerana tidak wajar dan tidak adil untuk membuat penilaian awal terhadap sesiapa sebelum seseorang itu didapati bersalah,” katanya.
Tambahnya, tidak semua individu di premis persendirian semestinya terlibat dalam kegiatan tidak bermoral, justeru pihak berkuasa perlu bergantung pada proses sewajarnya dan bukannya andaian.
Pada 2 Dis, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata privasi tidak terpakai dalam konteks tindakan penguatkuasaan ke atas premis perniagaan yang menerima ratusan pengunjung.
Beliau berkata polis ‘perlu mengimbangi perlindungan hak sivil dengan tugas penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan tidak bermoral’.
Bagaimanapun, peguam Gunamalar Joorindanjn berkata walaupun hak privasi mempunyai batasan di bawah undang-undang, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan diri.
Beliau berkata walaupun polis mempunyai ‘kuasa luas untuk memberhentikan, menggeledah dan menangkap jika terdapat syak munasabah’, mendedahkan identiti suspek kepada umum bukanlah suatu keperluan mengikut undang-undang.
“Setiap orang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan perkara itu telah melanggar privasi mereka,” katanya.
Serbuan itu diketuai oleh pasukan serbuan khas Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka menahan 208 individu berusia antara 19 hingga 60 tahun, termasuk 17 penjawat awam, serta 24 warga asing.
Pada 5 Dis, sekumpulan NGO meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa serbuan tersebut. Mereka menuduh pihak berkuasa melakukan pencabulan serius terhadap privasi dan maruah, setelah rakaman media menunjukkan lelaki berbaju tuala dirakam dan dikenal pasti secara terbuka.
“Soal siasat yang memalukan terhadap tahanan, termasuk permintaan untuk menghasilkan bunyi seksual secara tiruan, seperti yang dilaporkan dalam berita, menunjukkan amalan penguatkuasaan yang menjatuhkan maruah dan tidak wajar,” kata mereka.