Juruaudit, ketua integriti di semua kementerian nilai penjawat awam

Juruaudit, ketua integriti di semua kementerian nilai penjawat awam

Kerajaan ambil langkah proaktif pantau integriti penjawat awam.

Warga Jabatan Perdana Menteri penjawat awam
Kerajaan pandang serius isu integriti dalam kalangan penjawat awam, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad.
PETALING JAYA:
Kerajaan menempatkan juruaudit serta ketua integriti di setiap kementerian sebagai langkah proaktif bagi memantau dan menilai integriti penjawat awam, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad.

Abdul Rahman berkata, kerajaan memandang serius isu integriti dan ia perkara yang sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Jemaah Menteri agar tadbir urus yang baik terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara.

“Sebab itu di setiap kementerian, kita mempunyai juruaudit dan juga ketua integriti yang menilai penjawat-penjawat awam di setiap kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, lapor Bernama.

“Dan saya percaya dengan apa yang dilaksanakan oleh perdana menteri sendiri berkaitan dengan tatakelola (telah) menunjukkan bahawa integriti ini satu kepentingan kepada kita.”

Mengulas tentang peranan Cuepacs, Abdul Rahman menyifatkan kesatuan itu sebagai jambatan penting menghubungkan penjawat awam dengan kerajaan.

“Saya dapati Cuepacs menjadi antara nadi penggerak bagi penjawat awam dan mempunyai sifat yang sangat fleksibel dengan menyeimbangkan tuntutan dengan kehendak kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.