
Hospital berkenaan mengatasi Subang Jaya Medical Centre, Institut Jantung Negara (IJN) dan Mahkota Medical Centre, susulan proses penilaian selama setahun yang disifatkan MHTC sebagai ‘ketat, disahkan secara bebas dan ditanda aras mengikut standard global’.
Island Hospital juga diiktiraf menerusi anugerah bagi kategori pertumbuhan hasil pelancongan kesihatan serta inovasi digital dalam penyampaian perkhidmatan pesakit.
MHTC turut menganugerahkan tiga pengiktirafan khas kepada Mahkota Medical Centre sebagai Peneraju Kerjasama Strategik Industri; Subang Jaya Medical Centre bagi kategori Kecemerlangan Keunggulan Jenama; dan IJN bagi Kecemerlangan Perubatan dan Kecemerlangan Teknologi Perubatan.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, yang menyatakan bahawa inisiatif FMTH menggambarkan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai peneraju pelancongan perubatan dunia melalui pengiktirafan kepada hospital swasta yang cemerlang dari segi hasil klinikal, keselamatan, pengalaman pesakit dan penjenamaan pada peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Suriaghandi Suppiah berkata, program FMTH berjaya memperkukuh daya saing Malaysia apabila hospital peserta diwajibkan menjalani audit klinikal, semakan aspek keselamatan, penilaian tahap kematangan digital serta penilaian tadbir urus dan penjenamaan.
Katanya, empat finalis berkenaan secara kolektif mencatat peningkatan 75% dalam hasil pelancongan kesihatan bagi tempoh Oktober 2024 hingga September 2025, yang disokong pelaburan sebanyak RM1.4 bilion sejak 2019.
Hospital-hospital berkenaan turut meraih 11 pengiktirafan pusat kecemerlangan dan menerbitkan lebih 200 kertas kajian yang disemak penyelidik setara.
Malaysia merekodkan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan tahun lepas dengan hasil RM2.72 bilion, iaitu peningkatan 21% berbanding tahun sebelumnya, katanya.
“Keputusan ini menunjukkan bahawa penyedia perkhidmatan kesihatan swasta Malaysia bukan sahaja bertambah baik – malah berkembang pesat,” kata Suriaghandi.
Beliau berkata, pertumbuhan industri itu akan terus mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing serta meningkatkan standard penjagaan kesihatan untuk rakyat Malaysia melalui pasukan klinikal yang lebih kukuh.
Dzulkefly pula berkata, negara menyasarkan hasil RM3 bilion daripada 2.5 juta pelancong kesihatan tahun ini.
Katanya, pengembangan berterusan sektor itu akan menyokong kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026, yang bertujuan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pesakit antarabangsa.