
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 10 ejen dilantik setakat hari ini.
“Kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan adalah berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aedy, ejen pemungut yang dilantik hanya berfungsi sebagai saluran tambahan dan tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan di pejabat JPJ.
“Misalnya apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ia turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan.
“Namun pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di pejabat JPJ,” katanya.
Tambahnya, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebelum ini termasuk Pos Malaysia Berhad, Puspakom, MyEG Services, Konsortium Multimedia Swasta, TCSENS, dan TNG Sdn.
Katanya, mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ.
“Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan seperti yang telah dilaksanakan sekian lama,” katanya.
Tambahnya, JPJ kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalseliaan berterusan ke atas semua agen pemungut yang dilantik.
Semalam, media melaporkan anak syarikat Ramssol Group Bhd, Rider Gate Sdn. Bhd., dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan bagi urusan JPJ.
Menurut syarikat itu, pengguna kini boleh mengakses platform digital sepenuhnya yang menawarkan perkhidmatan pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.
Bagaimanapun, pelantikan itu dikritik beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mempersoalkan keperluan lantikan ejen luar sekiranya aplikasi JPJ diuruskan sendiri agensi berkenaan.