
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, membincangkan isu berkaitan tadbir urus, perkembangan ekonomi rakyat serta usaha pelaksanaan manifesto dan reformasi institusi sepanjang tiga tahun mentadbir negara.
“Mesyuarat turut mendalami dan meneliti keputusan PRN Sabah, selain memutuskan beberapa perkara berkaitan reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.
“Mesyuarat juga memutuskan supaya Konvensyen PH diadakan pada suku pertama 2026 bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta hala tuju negara untuk dua tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata parti itu akan mengumpulkan semua maklum balas dan bersama Anwar yang juga perdana menteri mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan.
Langkah itu susulan kekalahan menyeluruh DAP pada PRN Sabah, 29 Nov lalu, yang menurut Loke mencerminkan krisis keyakinan serius terhadap parti itu dan PH.
DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandingnya, manakala PH hanya memenangi satu kerusi di DUN Melalap menerusi wakil PKR, Jamawi Jaafar.