
Ibu bapa atlet berkenaan, Danish Irfan Tamrin, berkata tindakan itu telah merampas hak anak mereka untuk dipilih, selain mendedahkan kelemahan serius dalam sistem pemilihan atlet.
Sebelum digugurkan, Danish baru kembali daripada Kejohanan Sekolah Asean (ASG) di Brunei dengan pencapaian membanggakan apabila meraih pingat perak 100m, emas 200m dan emas acara 4x100m.
Catatan masa 10.61 saat dalam acara 100m meletakkannya dalam kelompok empat pelari terpantas negara musim ini, sekali gus melayakkannya berada dalam senarai pemilihan acara lari berganti-ganti.
Namun, beberapa hari kemudian, namanya tiada lagi dalam senarai pasukan Sukan SEA.

Prestasi meningkat, namun digugurkan secara tiba-tiba
Danish memasuki fasa persiapan Sukan SEA dengan prestasi memberangsangkan.
Selepas kejohanan sekolah peringkat kebangsaan (MSSM), beliau menyertai kem latihan berpusat di Bukit Jalil, walaupun terpaksa mengorbankan sesi persekolahannya.
Menurut ibunya, Noor Haslinda, Danish berpindah dan tinggal di Bukit Jalil kerana yakin dia mempunyai peluang sebenar mewakili negara.
Keputusan cemerlang di ASG menguatkan keyakinan itu.
Namun pada 19 Nov, Olahraga Malaysia (MA) mengumumkan senarai pendek atlet Sukan SEA. Nama yang tersenarai dalam pasukan 4x100m ialah Khairul Hafiz Jantan, walaupun catatan masanya musim ini lebih perlahan berbanding Danish.
Pada 26 Nov, ketika masih berada di Brunei, jurulatihnya menghantar mesej WhatsApp mengarahkannya menulis surat menarik diri atas alasan kononnya mengalami sakit belakang.
Tangkapan layar mesej berkenaan menunjukkan jurulatih itu memberikan arahan secara terperinci: tajuk surat, baris subjek, dan alasan kecederaan.
Danish dilihat teragak-agak dan bertanya: “Tulis apa, coach?”
Di sinilah, kata ibunya, keluarga mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
“Anak saya sihat. Dia tiada kecederaan belakang. Tapi dia disuruh tulis ikut skrip jurulatih.
“Dia ikut arahan kerana takut kesan jika melawan,” katanya.
Laporan perubatan bercanggah dengan alasan jurulatih
Pada 1 Dis, Danish menjalani pemeriksaan penuh di Institut Sukan Negara (ISN) yang mengesahkannya cergas sepenuhnya dan layak bertanding, sekali gus menafikan dakwaan kecederaan dalam surat penarikan diri.
Keluarga segera membawa perkara itu kepada MA, namun ketika itu tarikh akhir rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah pun tamat.
Pada 3 Dis, Danish tetap mengemukakan rayuan, melampirkan laporan ISN serta menegaskan surat penarikan diri ditulis atas arahan jurulatih.
Namun, OCM menolak rayuan tersebut kerana dianggap lewat.
Bagi keluarga, kronologi ini sangat mencurigakan:
Danish diarahkan menarik diri sebelum sebarang pemeriksaan perubatan dibuat, didakwa diminta berpura-pura cedera semasa ke ISN, namun apabila ISN mengesahkannya cergas, tempoh rayuan pula telah ditutup.
Noor Haslinda mempersoalkan bagaimana seorang jurulatih boleh menyuruh atlet menipu tentang kecederaan yang surat palsu itu digunakan sebagai alasan menggugurkannya.
“Ia tidak masuk akal. Ia tidak beretika. Ia tidak jujur.”
Ibu bapa bimbang anak disenarai hitam
Pada 6 Dis, ibu bapa Danish bertemu Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim, yang memaklumkan kes itu akan disiasat oleh jawatankuasa tatatertib.
Pada malam yang sama, keluarga dimaklumkan oleh seorang individu bahawa jurulatih tersebut didakwa berkata: “Mungkin lepas ini, Danish akan disenarai hitam oleh MA.”
Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan serius, lalu bapa Danish, Tamrin Hashim, menghantar surat aduan rasmi kepada MA, dua hari kemudiannya.
Dalam surat itu, beliau meminta pengesahan sama ada wujud perbincangan tentang menyenarai hitam anaknya.
Beliau menulis maklumat itu walaupun belum disahkan amat membimbangkan kerana melibatkan masa depan seorang atlet muda.
Tamrin turut menuntut jaminan bertulis tiada tindakan balas dendam akan dikenakan terhadap Danish, serta meminta MA menyiasat dakwaan kenyataan itu jika benar.
Beliau memberi amaran keluarga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika tiada penyelesaian yang adil dan telus.
Isu lebih besar: kuasa jurulatih dalam pemilihan atlet
Isu itu bukan sekadar membabitkan tempat seorang atlet dalam pasukan, tetapi membuka persoalan lebih besar: Jurulatih mempunyai kuasa terlalu besar dalam menentukan pemilihan.
Perlindungan terhadap atlet muda sangat lemah manakala mekanisme semak dan imbang tidak cukup kuat.
Mesej WhatsApp yang dilaporkan menunjukkan seorang jurulatih mengarahkan atlet untuk membohong dalam bentuk bertulis.
Jika benar, ia bukan sahaja isu disiplin, malah membabitkan kebajikan atlet, integriti pentadbiran dan kredibiliti pemilihan pasukan kebangsaan.
Penemuan ISN yang bercanggah dengan alasan dalam surat menarik diri menguatkan dakwaan wujud unsur paksaan.

Ia juga meletakkan ISN dalam keadaan sukar — jika atlet diajar untuk berpura-pura cedera, penilaian perubatan berisiko menjadi sekadar formaliti.
Beberapa pegawai sukan yang dihubungi FMT menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang tiada pendahulu dalam sukan Malaysia.
Seorang daripada mereka menyifatkannya sebagai ‘pengkhianatan kepercayaan dalam pengurusan atlet’.
Remaja 18 tahun tersepit antara arahan dan impian
Danish tidak menulis surat penarikan diri kerana mahu melepaskan peluang ke Sukan SEA. Dia menulisnya kerana diarahkan berbuat demikian.
Dia tidak mendakwa sakit belakang kerana cedera dan melakukannya kerana berasakan tiada pilihan.

Ibu bapanya berkata Danish kini keliru, tertekan dan bimbang tentang masa depannya.
“Dia bekerja keras, dia buktikan prestasi, tetapi ini yang dia terima,” kata Noor Haslinda.
“Tidak adil mana-mana atlet diperlakukan begini.”
Tamrin pula berkata: “Kami mahu MA melindungi anak kami, bukan menghukumnya kerana bercakap benar.”
Keluarga kini sedang menunggu hasil siasatan MA — keputusan yang bakal menentukan bukan sahaja masa depan Danish, tetapi juga sama ada sistem pemilihan atlet negara boleh terus dipercayai.