
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkata urusan kecemasan dan di luar norma biasa merangkumi laporan kemalangan, kebakaran serta urusan berkaitan bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
Katanya, langkah itu mengambil kira keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan, dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan.
“Kelonggaran etika berpakaian akan diberi bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa untuk tidak dinafikan hak pelanggan mendapat perkhidmatan segera sepertimana perkara 3.2 Lampiran A Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) 1/2025,” katanya memetik Bernama.
Perkembangan itu susulan insiden seorang wanita yang dilarang masuk ke IPD Jasin kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan. Wanita itu didakwa memakai skirt yang sedikit melepasi paras lutut.
Shamsul Azri ketika mengulas lanjut, berkata bagi urusan biasa perkhidmatan kaunter dan pejabat kerajaan pula ketua jabatan boleh menggunakan budi bicara sewajarnya, menentukan etika berpakaian sopan dan bersesuaian berlandaskan garis panduan berkuat kuasa.
“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan perhubungan pelanggan yang mesra, cekap dan responsif selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai Madani,” katanya.
Shamsul Azri berkata, secara umumnya panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat kerajaan digariskan dalam PKPA Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam telah berkuat kuasa pada 20 Jan lalu yang menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Terdahulu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpandangan isu etika berpakaian tidak seharusnya berlaku apa-apa keadaan yang menghalang orang ramai daripada membuat laporan polis.