2025 tahun agresif Kementerian Perpaduan Negara kukuh integrasi rakyat

2025 tahun agresif Kementerian Perpaduan Negara kukuh integrasi rakyat

Bertemakan 'harmoni dalam kepelbagaian' sebanyak 762 program dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tahun ini.

multiracial
Empat fokus utama Kementerian Perpaduan Negara pada 2025 merangkumi ekosistem perpaduan, harmoni Madani, eksplorasi Rukun Negara dan komuniti sosiobudaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tahun ini menyaksikan Kementerian Perpaduan Negara mengorak langkah lebih agresif dalam membina masyarakat yang mengamalkan nilai faham, hormat, menerima dan meraikan kepelbagaian.

Empat fokus utama pada 2025 merangkumi ekosistem perpaduan, harmoni Madani, eksplorasi Rukun Negara dan komuniti sosiobudaya.

Melalui tema ‘harmoni dalam kepelbagaian’, kementerian menggandakan usaha dengan menganjurkan 762 program perpaduan sepanjang 2025 – meningkat berbanding 730 (2024) dan 653 (2023).

Peningkatan itu mencerminkan keseriusan kepimpinan Aaron Ago Dagang dalam membina tapak interaksi rakyat yang selamat, terbuka dan inklusif.

Ekosistem perpaduan

Bawah ikhtiar ekosistem perpaduan, ia menumpukan peningkatan nilai muhibah melalui pembangunan komuniti dan pemerkasaan kesukarelawanan.

Sepanjang tahun, Minggu Perpaduan diraikan di peringkat kebangsaan dan negeri, selain sambutan 50 tahun penubuhan kawasan rukun tetangga (KRT) – institusi akar umbi yang memainkan peranan penting dalam keharmonian kejiranan. Sebanyak 301 KRT berjaya dimodelkan sebagai KRT progresif, yang menunjukkan peningkatan keupayaan komuniti merancang program sendiri.

Perayaan seperti Songkran dan Aidilfitri turut dianjurkan di peringkat kebangsaan sebagai simbol penerimaan silang budaya, dengan penyertaan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Kesedaran perpaduan perlu dipupuk sejak kecil mendorong kementerian memperuntukkan RM33.73 juta untuk taska dan tabika perpaduan, termasuk ‘starter kit’, insurans kemalangan diri, bantuan makanan tambahan dan buku aktiviti. Sebanyak 119 tabika turut dinaik taraf dengan peruntukan RM5 juta.

Biasiswa Tunku Abdul Rahman diteruskan dengan 43 penerima dicatat pada 2025. Program Madani Berkhidmat pula melahirkan 324 sukarelawan siswa, manakala lapan atlet negara dilantik sebagai Ikon Perpaduan Negara bagi mendekatkan mesej perpaduan kepada golongan belia.

Bagi memudahkan urusan permohonan program, kementerian turut melancarkan portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan.

Harmoni Madani

Usaha meningkatkan keharmonian antara penganut agama sepanjang 2024 memberikan dorongan kuat kepada kementerian untuk melipatgandakannya tahun ini, dengan pendekatan lebih tersusun dalam mengurus isu sensitif.

Sambutan Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia menjadi acara utama, diikuti dialog harmoni dan perarakan harmoni yang menampilkan kereta berhias pelbagai etnik. Di media, siri iklan perayaan bertemakan perpaduan bagi Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Gawai-Kaamatan, Deepavali dan Krismas – menuai respons positif.

Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang menghimpunkan 12 agensi kerajaan juga ditubuhkan bagi menyelesaikan isu semasa berbangkit antara agama.

Pembaharuan ketara turut disaksikan melalui pelancaran Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (Rakan), iaitu saluran digital yang membolehkan aduan berkaitan isu perpaduan disalurkan lebih cekap.

Pada masa sama, peranan 603 mediator komuniti diperkasa bagi membantu menyelesaikan konflik keharmonian terutama di kawasan bandar.

Eksplorasi Rukun Negara

Kementerian terus komited membangkitkan penghayatan falsafah negara iaitu Rukun Negara melalui penganjuran ‘Kempen Taat Setia Rukun Negara’, penubuhan Sekretariat Rukun Negara dan pertandingan mural Rukun Negara peringkat sekolah.

Pelajar didorong mencintai sejarah dan warisan melalui Arkib@Sekolah dan program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) melibatkan 41 muzium di seluruh negara.

Di peringkat pengajian tinggi pula, program Gerak Integrasi Perpaduan dan Jalinan Integrasi Mahasiswa dirangka untuk menggalakkan silang budaya. Kementerian juga menganugerahkan geran RM20,000 kepada institusi pengajian tinggi terpilih bagi melaksanakan program Citra Negaraku.

Komuniti sosiobudaya

Dalam ikhtiar merakyatkan muzium, perpustakaan dan arkib, kementerian memperluaskan program seperti Citra Nusa @ Muzium dan Fiesta Uniti @ Muzium sebagai platform interaksi rakyat dengan institusi budaya. Pelaksanaan ‘cashless museum’ di Muzium Negara memperkenalkan pengalaman baharu kepada pengunjung, manakala arkib komuniti membuka ruang kepada masyarakat menyumbang bahan sejarah.

Tahun ini turut menyaksikan penubuhan Majlis Sejarawan Negara dan penganjuran Majlis Mengenang Negarawan bagi menghargai jasa Tunku Abdul Rahman, VT Sambanthan, dan Abdullah Ahmad Badawi. Galeria Sri Perdana turut dibuka semula selepas kerja penaiktarafan.

Budaya membaca dan kesusasteraan diberi penekanan melalui penganjuran Karnival Baca Perdana sepanjang Oktober, Festival Kaligrafi Perpaduan, Festival Seni Sastera Kanak-kanak serta penyediaan baucar buku Semarak Membaca bernilai RM1 juta. Inisiatif seperti Sentuhan Komuniti Bestari @ Perpustakaan Desa, program Duta Buku dan Ceritaku@Sekolah membantu memperluas akses budaya di peringkat komuniti.

Keseluruhan pencapaian ini menghantar isyarat jelas Kementerian Perpaduan Negara begitu komited mengukuhkan keharmonian sosial pelbagai kaum di Malaysia demi mewujudkan sebuah negara yang makmur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.