KRT raih RM600,000 hasil berbudi pada tanah

KRT raih RM600,000 hasil berbudi pada tanah

Landskap ekonomi Kampung Sungai Lang Baru berubah hasil tanaman cili fertigasi yang mendapat sokongan Kementerian Perpaduan Negara.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Sungai Lang Baru
Cili yang dipetik dijual kepada Lembaga Pertubuhan Peladang dengan harga tinggi.
BANTING:
Peserta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Sungai Lang Baru berjaya meraih sehingga RM600,000 dalam tempoh enam bulan hasil tanaman 10 ekar cili fertigasi yang diusahakan bersama.

Seramai 20 peserta dibekalkan 40,000 beg cili dengan setiap seorang menguruskan 2,000. Mereka menerima pendapatan sehingga RM15,000 semusim, bersamaan kira-kira RM2,500 sebulan.

Muhammad Noh Norngaini
Muhammad Noh Norngaini.

Pengerusi KRT, Muhammad Noh Norngaini, berkata kejayaan itu mengubah landskap ekonomi kampung berkenaan lebih-lebih lagi usaha tersebut mendapat sokongan penuh Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, inisiatif Menteri Aaron Ago Dagang banyak membantu penduduk menjana pendapatan dan bersyukur ia mengubah kehidupan mereka sekali gus mengukuhkan hubungan kejiranan antara komuniti.

Noh sendiri bersama beberapa peserta KRT Progresif pada 2021 memulakan projek tanaman ubi kayu (20 ekar), pisang tanduk (15 ekar) dan sorghum – sejenis tanaman bijirin (5 ekar).

“Bermula dua ekar, kini tanaman ubi kayu dan pisang tanduk kami masing-masing mencecah 15 ke 20 ekar. Pada 2024 baru kita libatkan komuniti dan usahakan cili fertigasi seluas 10 ekar,” katanya kepada FMT.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Sungai Lang Baru
Cili ditanam menggunakan kaedah fertigasi mengambil masa enam bulan sebelum boleh dituai.

Pegawai Perpaduan Kuala Langat, Aziza Abd Rawi, berkata sebanyak 50 ekar tanah milik Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (Iklin) disewakan untuk projek KRT Sungai Lang Baru – antara KRT Progresif cemerlang peringkat daerah itu.

Aziza Abd Rawi
Aziza Abd Rawi.

Katanya, tanah di Kuala Langat amat sesuai untuk penanaman ubi kayu dan pisang pisang tanduk.

“Terdapat lima KRT Progresif di daerah ini dan semuanya sangat berpotensi untuk berjaya,” katanya.

Menurutnya, kementerian turut bekerjasama dengan agensi lain untuk membantu usahawan tani bukan sahaja dari segi sokongan tetapi dana bagi memulihkan infrastruktur tanah, pemberian benih, ilmu berkaitan pertanian selain membeli hasil tanaman dengan harga tinggi.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Sungai Lang Baru
Ubi kayu yang dituai akan dijual kepada pengusaha kerepek sekitar Banting.

Pihak terlibat adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Faizfareez Rosli
Faizfareez Rosli.

Faizfareez Rosli, 35, seorang daripada peserta mengusahakan ubi kayu berkata langkah meninggalkan kerjanya sebagai pemandu lori untuk menjadi petani sepenuh masa adalah keputusan tidak pernah disesali.

“Anggaran pendapatan sekitar RM15,000 untuk satu musim (10 bulan). Terima kasih pada Kementerian Perpaduan Negara sebab beri kami peluang usahakan tanah ini,” katanya.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Sungai Lang Baru
Aliff Hanan Norisam membersihkan ladang pisang tanduknya.

Aliff Hanan Norisam, 27, pula berbangga dengan tanaman pisang tanduk seluas lima ekar, yang meraih untung kasar sekitar RM100,000 semusim (10 bulan).

“Pertanian ini untung dalam diam. Bila berbudi pada tanah kita akan dapat hasilnya. Jadi, saya harap kementerian perbanyakkan program seperti ini,” katanya yang meraih keuntungan bersih sekitar RM200,000 bagi empat kali tuaian.

Dengan hasil ladang yang stabil dan pendapatan semakin meningkat, Noh, Faiz dan Aliff berharap model ini dapat bertahan untuk jangka panjang dan menjadi rujukan kepada KRT lain di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.