
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata hanya dua permohonan melawat depot tahanan imigresen dikemukakan badan antarabangsa itu tahun ini.
“Kalau semalam dalam New York Times, dia cakap kita tak beri akses pula nak masuk ke depot imigresen.
“Seingat saya, tahun ini baru dua kali kita terima surat, di mana UNHCR kata dia nak datang jenguk depot imigresen, dua kali baru.
“Tapi dia beritahu dunia kata kita sekat, tak bagi. Jadi, semua itu kita ‘manage’ dari segi persepsi,” katanya menurut Berita Harian dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Dalam laporan New York Times, UNHCR dilaporkan mendakwa ia disekat melawat kebanyakan depot tahanan sejak 2019, sekali gus mengurangkan keupayaannya mengenal pasti pelarian atau memeriksa keadaan dalam pusat tahanan.
Ia turut menyebut akses diberikan melalui proses permohonan, dengan dua lawatan tahun lalu.
Saifuddin menegaskan Malaysia yang bukan pihak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 menerima pelarian kerana dunia memerhati, tetapi atas tanggungjawab moral mengurus manusia secara bermaruah, termasuk pelarian.
“Kita buat ini kerana kita ada tanggungjawab moral. Kita ini manusia nak urus itu biar secara bermaruah. Manusia itu ada harga diri, ada maruah, termasuklah manusia yang namanya pelarian,” katanya sambil menambah Malaysia sekadar negara transit sebelum pelarian berdaftar dengan UNHCR ke negara ketiga.
Tetapi, katanya, keadaan geopolitik kini berubah dan peruntukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk usaha UNHCR turut menyusut susulan dasar baharu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap pendatang, termasuk pelarian.
“Akibatnya, yang berada di negara kita, peluangnya untuk ditempatkan ke negara ketiga semakin tipis, kecuali ada beberapa negara. Jadi, kita nak uruskan perkara ini dalam konteks sebagai kerajaan dan kita pula yang pikul tanggungjawab.”