
Panel tiga hakim diketuai Hakim Zaini Mazlan, bersama Hakim Lim Hock Leng dan Hakim Amarjeet Singh, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan semakan kehakiman tersebut.
Membacakan keputusan mahkamah, Amarjeet berkata kerajaan Perlis jelas telah membuat satu keputusan yang disampaikan kepada Sports Toto dan pihak-pihak lain melalui surat Majlis Perbandaran Kangar bertarikh 27 April 2023.
“Notis (surat) ini menunjukkan bahawa keputusan pihak berkuasa tempatan itu berpunca daripada satu ketetapan kerajaan negeri. Ketetapan ini pada asasnya merupakan keputusan untuk mengharamkan (perniagaan pertaruhan berasaskan pool betting) di Perlis,” katanya.
Amarjeet berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan bahawa ‘tiada keputusan rasmi’ dibuat.
Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa para pemohon mempunyai kes yang boleh dihujahkan melibatkan potensi pelanggaran pengasingan kuasa dan hak asasi, dan bukan sekadar pertikaian dasar.
Panel itu kemudian mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kangar untuk perbicaraan penuh.
Peguam Brian Foong, Eolanda Yeoh dan Muhammad Hiqmar Danial Hidzir mewakili Sports Toto dan pemohon lain, manakala peguam persekutuan kanan Zairani Tugiran mewakili Jabatan Peguam Negara.
Pemohon – STM Lottery Sdn Bhd, Leong Jenn Kiang, Chin Soo Shian, C Santha dan Yip Kok Chyun – memohon supaya keputusan Majlis Perbandaran Kangar yang tidak memperbaharui lesen premis perniagaan mereka dibatalkan, yang sekali gus menghalang mereka daripada menjalankan perniagaan loteri.
Mereka berhujah bahawa perkara berkaitan pengeluaran lesen perjudian terletak di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan.
Sehubungan itu, mereka menyatakan keputusan pihak berkuasa negeri adalah tidak rasional, ultra vires kuasa yang diberikan kepada majlis perbandaran dan kerajaan negeri, serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.