
Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan, berkata kelulusan kebenaran merancang oleh pihak berkuasa tempatan dilihat memihak kepada pembangunan pangsapuri mewah berdekatan stesen, sekaligus tidak membantu penggunaan pengangkutan awam.
Menurutnya, sudah tiba masa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan segera bekerjasama dan mewajibkan hartanah sekitar stesen dimajukan bagi membantu skim perumahan berpendapatan rendah.
“Kondominium mewah itu bukan sahaja mahal, malah dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dua parkir kereta. Justeru pembeli dengan dua kenderaan peribadi tidak lagi perlu menggunakan pengangkutan awam.
“Sedangkan yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari tidak mampu membeli kondominium mewah yang berdekatan dengan stesen transit tersebut. Ini terjadi kerana tiada polisi yang jelas dan nyata antara kementerian-kementerian mahupun pemaju terlibat,” katanya kepada FMT.
Rosli menarik perhatian kepada tanah-tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Kuala Lumpur seperti Sentul, Brickfield, Bangsar dan Tasik Selatan, yang dibangunkan dengan kondominium-kondominium mewah, pejabat, dan ruang komersial bernilai tinggi.
“Penduduk di situ masih terus mengguna kenderaan persendirian, sedangkan golongan yang sebenarnya menggunakan pengangkutan awam setiap hari tidak mampu membeli rumah di kawasan stesen transit. Mereka terpaksa tinggal jauh, menyebabkan cabaran untuk ke stesen,” katanya.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada Ahad mencadangkan pemaju perumahan mengurangkan bilangan tempat letak kenderaan bagi projek baharu yang dibangunkan berhampiran dengan stesen pengangkutan awam, untuk menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam.
Noor Hashimah Hashim Lim di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya bagaimanapun menyifatkan cadangan tersebut ‘ideal’ namun tidak mencukupi tanpa usaha mengubah fikiran masyarakat tentang perkhidmatan pengangkutan awam.
“Minda masyarakat juga perlu diubah agar tidak lagi menganggap pengangkutan awam bermakna kesesakan atau terpaksa berjalan jauh,” tegas pensyarah kanan di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah ini.
Beliau menambah kemudahan e-panggilan berpotensi menyelesaikan masalah perbatuan pertama dan terakhir yang sering dihadapi pengguna transit awam. “Pengguna boleh menggabungkan transit awam dengan e-hailing untuk merancang perjalanan yang lancar.”
Hashimah berkata masyarakat juga perlu dididik untuk membandingkan kos pemilikan kenderaan dengan penggunaan transit awam dan e-panggilan.
“Dengan perubahan tingkah laku ini, saya percaya negara berpotensi untuk kembali mencapai keadaan ‘satu isi rumah satu kereta’ seperti dahulu, menjadikan polisi ‘satu unit rumah satu tempat letak kereta’ lebih relevan untuk generasi kini,” katanya.