JPN timbang tawaran sukarela serah semula MyKad dwiwarganegara

JPN timbang tawaran sukarela serah semula MyKad dwiwarganegara

Ketua Pengarah Badrul Hisham Alias berkata JPN tidak mempunyai rekod mengenai mereka yang mempunyai dua warganegara namun boleh bertindak jika terima aduan.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias, berkata pendekatan itu mungkin boleh dilaksana untuk melihat sejauh mana kesediaan pemilik dwiwarganegara tampil memilih kerakyatan mereka. (Gambar Bernama)
BACHOK:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia mempertimbangkan cadangan penyerahan semula MyKad pemilik yang mempunyai dua kewarganegaraan secara sukarela tanpa mengenakan sebarang tindakan.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias, berkata pendekatan itu mungkin boleh dilaksanakan untuk melihat sejauh mana kesediaan pemilik kad pengenalan dwiwarganegara tampil membuat pilihan kerakyatan mereka.

“Setakat ini, kita belum buat tawaran atau inisiatif ini, tetapi saya lihat perkara ini satu cadangan yang baik untuk kita melihat setakat mana sambutan yang kita akan terima melalui tawaran ini.

“Berkaitan hal ini, tindakan kita hanya membabitkan pelucutan satu daripada kewarganegaraan yang mereka miliki dan bukan tindakan undang-undang lain atau membabitkan sebarang tangkapan, bahkan dalam keadaan ini mereka boleh memilih kewarganegaraan yang dikehendaki dan tiada mandatori yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan kepada Shaharuddin Basir, 58, yang menanti 46 tahun untuk memiliki dokumen itu, pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Keting.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan dan tindakan pelucutan terhadap status warganegara boleh diambil sekiranya terbukti bersalah.

Namun, beliau berkata JPN tidak mempunyai rekod atau maklumat mengenai mereka yang mempunyai dua warganegara, namun pihaknya boleh mengambil tindakan jika menerima aduan berdasarkan peruntukan Perkara 24(1) dan 24(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelucutan kewarganegaraan ini satu proses yang agak sukar ditentukan kerana perlu melalui satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh hakim yang dilantik dan tindakan diambil selepas didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan berhubung pemilikan dua kewarganegaraan dengan kerajaan Thailand pada hujung tahun lepas berikutan pengukuhan kawalan sempadan negara.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menegaskan dasar kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, dengan tindakan pelucutan terhadap status warganegara boleh diambil sekiranya terbukti bersalah.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan pelucutan status warganegara boleh diambil berdasarkan peruntukan Perkara 24(1) dan 24(2) Perlembagaan Persekutuan, bergantung pada dua kategori kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.