
Perintah reman terhadap lelaki berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret J Savinder Singh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas membenarkan permohonan polis.
Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, menurut Sinar Harian.
Media semalam melaporkan seorang lelaki dipercayai menyimpan mayat isterinya selama empat hari selepas membunuh wanita tersebut di rumah mereka di Jalan Tuna.
Difahamkan, perbuatan suspek berusia 28 tahun itu terbongkar selepas dia sendiri membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mereka di tingkat dua sebuah pangsapuri di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris berkata, mayat wanita berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian di atas tilam disalah sebuah bilik di rumahnya.
Katanya, wanita itu dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu dan pasukan forensik telah mengambil beberapa sampel termasuk menemukan pisau disyaki digunakan suspek.
“Mayat mangsa dihantar ke ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya, dalam kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti motif dan punca kejadian berlaku.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.