Menteri arah siasat isu tarik diri Danish Irfan

Menteri arah siasat isu tarik diri Danish Irfan

Menteri belia dan sukan berkata semua keputusan berhubung pemilihan atlet perlu dibuat secara profesional dan berasaskan merit.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam sidang media geran Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapatkan laporan penuh daripada Olahraga Malaysia (MA) berhubung isu penarikan diri atlet olahraga Danish Irfan Tamrin yang tular baru baru ini.

Hannah berkata, langkah itu bagi memastikan ia dapat diselesaikan segera dan beliau memandang serius perkara tersebut.

“Kita tidak boleh membuat kesimpulan hanya berdasarkan laporan media sosial. Siasatan sedang berjalan.

“Jika ada apa-apa penemuan salah laku, MSN akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular dakwaan bahawa pelari pecut muda negara itu dipaksa menulis surat menarik diri daripada skuad 4x100m di Sukan SEA Thailand, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang menganggap terdapat kronisme dalam industri sukan di Malaysia.

Dalam pada itu, Hannah berkata semua keputusan berhubung pemilihan atlet perlu dibuat secara profesional dan berasaskan merit, termasuk catatan masa, jarak dan prestasi semasa.

“Saya ingin memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pemilihan atlet mesti berdasarkan merit. Jika tidak, Malaysia yang rugi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.