
Timbalan Ketua Menteri II Masidi Manjun, yang juga menteri kewangan negeri, ketika membentangkan belanjawan memaklumkan pembayaran BKK melibatkan implikasi kewangan RM52.6 juta.
Beliau berkata, pembayaran bantuan itu akan dilaksana pada Februari tahun depan sebelum Aidilfitri dan pada Mei sebelum sambutan Kaamatan.
“Penjawat awam Sabah nadi utama jentera pentadbiran perkhidmatan kerajaan negeri…oleh itu, selain pelarasan gaji, kerajaan negeri Sabah juga membawa khabar gembira BKK kepada penjawat awam negeri,” katanya menurut Bernama ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang DUN, di Kota Kinabalu.
Masidi berkata selain itu, golongan pesara kerajaan negeri turut menerima BKK berjumlah RM1,000, dijadual dibayar tahun hadapan.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan emolumen sebanyak RM936.73 juta bagi membiayai gaji penjawat awam Sabah pada 2026, peningkatan sebanyak RM32.82 juta atau 3.63% berbanding peruntukan asal tahun ini.
“Kenaikan tersebut bagi menampung kenaikan gaji tahunan serta pelarasan gaji fasa dua yang melibatkan kenaikan antara 3% hingga 7% selaras dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada 1 Dis 2024, di samping pertambahan pelantikan baharu,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan negeri turut memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan sumber manusia dengan RM16.85 juta bakal diagih kepada semua agensi kerajaan Sabah bagi memastikan penjawat awam terlatih dan dilengkapi pengetahuan serta kemahiran yang relevan dengan cabaran semasa.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM7.6 juta juga disediakan khusus untuk menggalakkan budaya pembelajaran berterusan.
“Perkhidmatan awam ialah nadi kerajaan negeri Sabah yang perlu sentiasa berfungsi dengan cekap dan berkesan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
“Usaha ini adalah untuk membentuk barisan pegawai yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, memiliki keupayaan analitikal dan kepimpinan masa hadapan,” katanya.