Warga emas mengaku salah cabul budak 9 tahun

Warga emas mengaku salah cabul budak 9 tahun

Noor Aini Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa Port Dickson, Port Dickson, 6 Disember lalu.

Warga emas, Noor Aini Ismail, 63, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak sembilan tahun dalam kejadian di Port Dickson, minggu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak sembilan tahun dalam kejadian di Port Dickson, minggu lalu.

Tertuduh, Noor Aini Ismail, 63, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim N Kanageswari, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Desa Port Dickson, Port Dickson, 6 Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan kes serius.

Mahkamah kemudiannya bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Disember untuk fakta dan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.