
Baru pulang dari lawatan kerja di Hanoi, Vietnam, penganalisis data, Jamil Shahrin, 37, berkongsi keterujaannya apabila urusan di ‘autogate’ kini hanya mengambil masa beberapa saat.

“Dulu perlu beratur panjang. Tapi sekarang saya terus ke autogate, imbas muka, kod QR — tak sampai 10 saat pun,” katanya kepada FMT.
Sistem autogate baharu berasaskan imbasan kod respons pantas (QR) itu menggantikan teknologi cip pasport sebelum ini, sekali gus mempercepatkan pengesahan identiti penumpang.
Sebagai individu kerap merantau ke luar negara, Jamil menyifatkan ia ‘lebih bijak dan cekap’ berbanding lapangan terbang lain di rantau ini.
Pengalaman Jamil turut dikongsi puluhan ribu pengguna KLIA, hasil pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bawah Pejabat Perdana Menteri yang bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pendigitalan sektor awam.

Antara pembaharuan utama termasuk pemasangan 40 autogate baharu dengan teknologi imbasan QR, 10 kaunter imigresen tambahan dan penubuhan pasukan bertindak pantas (QRT) untuk membantu ketika waktu puncak.
Data awal menunjukkan masa menunggu penumpang berkurang sebanyak 54.9%, daripada 111 minit kepada hanya 50 minit — jauh melepasi sasaran pengurangan 30%.

MyBorderPass permudah urusan
Bagi juruteknik Hamizan Hasnan, 26, aplikasi MyBorderPass menggambarkan pendigitalan sebenar perkhidmatan awam.

Melalui aplikasi itu, pengguna hanya perlu mendaftar wajah, iris dan cap jari sebelum mengimbas kod QR di autogate.
“Saya harap bukan KLIA sahaja. Kalau boleh konsep cepat dan telus macam ini diperluaskan ke kaunter kerajaan lain,” katanya.
Imej negara semakin positif di mata pelancong

Bagi pekerja sektor kewangan, Nur Adriana Mohamad Jamil, 37, perubahan yang sering disebut dalam sidang media atau dokumen dasar kini akhirnya dapat dilihat dan dirasai sendiri.
“Autogate dan MyBorderPass bukan hanya
memudahkan rakyat tempatan, tetapi beri imej positif kepada pelancong. Mereka akan lihat Malaysia sebagai negara yang benar-benar moden dan cekap.”

Pegawai kewangan, Nurfarisya Mahmood, 24, turut bersetuju pembaharuan itu sangat signifikan, lebih-lebih lagi ketika Malaysia menerima kunjungan delegasi Asean dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.