Akta Keselamatan Dalam Talian untuk lindungi bukan kawal pengguna, kata SKMM

Akta Keselamatan Dalam Talian untuk lindungi bukan kawal pengguna, kata SKMM

Undang-undang itu benarkan kerajaan bertindak terhadap penyedia platform media sosial yang gagal tapis keluar kandungan bahaya.

mcmc
Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan SKMM, Eneng Faridah Iskandar, berkata SKMM tidak boleh menyekat atau menghadkan individu secara langsung daripada mengakses platform apabila larangan pengguna bawah 16 tahun berkuat kuasa. (Gambar SKMM)
SEPANG:
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang akan berkuat kuasa tahun depan, dirangka khusus untuk melindungi keselamatan pengguna media sosial dan bukannya mengawal kebebasan mereka, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan SKMM, Eneng Faridah Iskandar, berkata akta itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat media sosial sekiranya mereka gagal menapis kandungan berbahaya secara berkesan di platform masing-masing, sekali gus meletakkan tanggungjawab ke atas syarikat.

Beliau berkata undang-undang sedia ada hanya membenarkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang berkongsi atau mencipta kandungan berbahaya atau berisiko.

Eneng berkata tidak lama lagi aduan boleh dibuat terhadap penghantar dan platform apabila pengguna menerima kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, kerana platform diwajibkan memastikan kandungan sedemikian tidak sampai kepada pengguna sejak awal.

“Ini adalah perbezaan utama antara akta ini dan perundangan lain berkaitan kandungan dalam talian. Akta ini tidak mensasarkan pengguna, sebaliknya mengenakan tanggungjawab ke atas penyedia platform,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual bersama beberapa organisasi media terpilih.

Platform berkenaan akan diwajibkan memberi maklum balas terhadap aduan secara adil dan telus, serta menjelaskan kepada pengguna mekanisme yang dilaksanakan untuk menghapuskan kandungan berbahaya.

“Sebagai pemegang lesen, mereka akan tertakluk kepada peraturan, dan SKMM boleh meminta laporan berkala bagi memantau pematuhan mereka terhadap akta ini,” kata Eneng.

Undang-undang itu diluluskan Parlimen tahun lalu dan diwartakan pada Mei tahun ini. Ia menghendaki syarikat media sosial memastikan platform mereka bebas daripada 19 jenis kandungan berbahaya, dengan kandungan berkaitan penderaan kanak-kanak dan penipuan diberi penekanan khusus.

Platform juga perlu mengemukakan pelan keselamatan digital tahunan kepada kerajaan yang memperincikan strategi mitigasi dan pencapaian mereka, dengan ketidakpatuhan boleh dikenakan penalti sehingga RM10 juta.

Eneng berkata kebebasan bersuara pengguna internet tidak akan disekat apabila undang-undang baharu itu berkuat kuasa, kerana 19 jenis kandungan dilarang tersebut sudah pun dianggap menyalahi undang-undang, termasuk pengedaran dadah, penipuan dan penyebaran ideologi radikal.

Fokus kepada keselamatan siber kanak-kanak

Eneng berkata salah satu objektif utama akta itu ialah melindungi kanak-kanak, yang mencatatkan penggunaan internet yang tinggi walaupun merupakan kumpulan paling terdedah, daripada kandungan berbahaya dan bersifat pemangsa.

Beliau berkata statistik menunjukkan kanak-kanak membentuk kira-kira satu pertiga daripada pengguna internet, dan laporan media turut mendedahkan realiti membimbangkan mengenai kanak-kanak yang mengalami ancaman atau penderaan seksual di internet.

“Pelbagai platform mungkin mempunyai prosedur operasi standard yang berbeza dan akta ini bertujuan untuk menyeragamkannya,” katanya, sambil menambah bahawa langkah itu akan mewujudkan mekanisme pelaporan yang lebih mudah.

Pada 24 Okt, polis mengumumkan bahawa mereka melumpuhkan satu rangkaian jenayah yang berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak, dengan penahanan 31 individu dan rampasan lebih 880,000 fail digital.

SKMM tak boleh sekat atau had pengguna bawah 16 tahun secara langsung

Eneng berkata walaupun SKMM tidak boleh menyekat atau menghadkan individu secara langsung daripada mengakses platform apabila larangan pengguna bawah 16 tahun berkuat kuasa bulan depan, tanggungjawab melaksanakan sekatan umur akan diletakkan ke atas penyedia platform.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.