
Pensyarah kanan psikologi Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam berkata pendekatan itu membawa Malaysia keluar daripada model reaktif yang hanya bertindak selepas kandungan dilaporkan kepada model pencegahan memaksa syarikat teknologi memastikan keselamatan pengguna bawah umur sebagai syarat operasi.
“Penetapan had umur, kawal selia kandungan mengikut tahap perkembangan dan keperluan platform mematuhi OnSA dapat mengurangkan risiko kanak-kanak didedahkan kepada bahaya digital.

“Ini selari amalan platform global seperti Meta yang sudah memperkenalkan ciri keselamatan remaja termasuk saringan kandungan sensitif dan had interaksi dengan akaun tidak dikenali,” kata ahli akademik dari Universiti Putra (UPM) itu kepada FMT.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam jawapan di Parlimen pada 4 Dis lalu berkata kerajaan dalam proses mengawal selia platform dalam talian bagi menyekat pengguna bawah usia 16 tahun daripada mengakses kandungan.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah OnSA yang berkuat kuasa tahun depan dengan tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Naqiuddin berkata penemuan lebih 880,000 fail berkaitan CSAM dalam operasi bersepadu polis dan SKMM, Oktober lalu, menunjukkan realiti serius yang memerlukan pembabitan penyedia platform.
“Setiap kali imej penderaan itu dilihat, dimuat turun atau dikongsi, mangsa mengalami ‘penderaan berulang’ secara mental.
“Kesannya boleh menjejaskan identiti, emosi dan kemampuan mereka membina hubungan sihat apabila dewasa,” jelasnya sambil menekankan penyedia platform tidak terlalu bergantung kepada laporan pengguna.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil pula menekankan peranan ibu bapa dalam memberi kefahaman kepada anak-anak mengenai alasan kerajaan melaksanakan peraturan terbabit.
“Mereka diberitahu ancaman jika ia tidak dilaksanakan,” katanya yang turut berkongsi pengalaman ibu bapa membuka akaun media sosial untuk anak yang masih di bangku sekolah.

“Wujud lagi (ibu bapa) yang buka akaun media sosial untuk anak-anak, jadi pempengaruh dan tunjuk subjek serta bakat tertentu.”
Menurut Siraj, ‘meletakkan’ anak di media sosial adalah pilihan ibu bapa yang berisiko menjadi kesalahan jika peraturan mengehadkan akses media sosial mula dikuat kuasa menerusi OnSA.
“Selepas ini ada langkah untuk mengenal pasti identiti mereka dan jika ada eksploitasi selepas ini maksudnya ibu bapa yang buat pengesahan.
“Itu kesalahan dan tidak sepatutnya identiti dipalsukan untuk anak gunakan media sosial,” katanya.