
Beliau memberitahu Dewan Negara bahawa kementeriannya akan ikut berpandukan apa yang termaktub dalam kontrak yang telah ditandatangani dengan TM sekiranya jawatankuasa itu mendapati terdapat pelanggaran.
“Sekiranya ada penalti yang boleh dikenakan, saya serahkan kepada pasukan yang meneliti,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata bagi menjawab Senator A Ligeshwaran yang bertanyakan kemungkinan bentuk tindakan terhadap TM.
Ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Negara, Fahmi berkata isu gangguan teknikal NG999 berjaya ditangani sepenuhnya susulan pertemuan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan TM baru-baru ini.
“Beberapa isu diuruskan dan hingga kini tiada lagi sebarang masalah melibatkan sistem. Kebanyakan isu yang berbangkit membabitkan aspek personel yang telah disusun semula oleh TM dan KKM.
“Alhamdulillah, hari ini tiada lagi sebarang isu berbangkit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata antara Januari 2022 hingga 30 Nov lepas, sebanyak 1,569 permohonan penurunan kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikemukakan kepada platform media sosial dengan 95% daripadanya telah diturunkan.
Beliau juga memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 52,315 permohonan penurunan kandungan buli siber, dengan 76% daripadanya diturunkan bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Nov.