
MITI menjelaskan ini kerana ART masih belum diratifikasi dan dikuatkuasakan.
“Namun demikian, berdasarkan Artikel 7.3 ‘Modifications and Amendments’, kerajaan boleh memohon pindaan yang munasabah terhadap mana-mana peruntukan selepas perjanjian berkuat kuasa.
“Permohonan pindaan hendaklah dibuat secara bertulis, dan pihak yang satu lagi hendaklah mempertimbangkan permohonan pindaan tersebut dengan niat baik. Kedua-dua pihak perlu bersetuju secara bertulis untuk meminda perjanjian tersebut,” tambah MITI menerusi jawapan bertulis Dewan Negara di laman Parlimen.
MITI menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad yang bertanyakan cadangan merundingkan semula ART AS-Malaysia yang dilihat berat sebelah.
Kementerian memaklumkan pemuktamadan ART berpotensi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengukuhan perdagangan dua hala, peningkatan aliran pelaburan berkualiti tinggi, pemindahan teknologi, peningkatan daya saing industri tempatan, serta pemantapan rantaian bekalan global.
Menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula, MITI menjelaskan ART Malaysia-AS dimeterai bagi memberikan ketelusan dan ketentuan dalam hubungan perdagangan kedua-dua negara, sekali gus mengurangkan risiko ketidaktentuan dasar yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan syarikat perniagaan terhadap Malaysia.
Nik Abduh bertanyakan impak ekonomi dan strategik ART terhadap agenda ekonomi Malaysia dan sama ada kerajaan menjalankan analisis risiko yang menyeluruh mengenai penggunaan klausa keluar.
Menurut MITI, kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif dengan menjalankan analisis impak untuk mengenal pasti sektor industri yang mungkin memerlukan penyesuaian strategi atau sokongan dasar.
“Kerajaan telah merangka beberapa strategi untuk mengurangkan impak pelaksanaan tarif ke atas prestasi eksport dan pelaburan negara,” jelas kementerian itu.
Mengenai klausa keluar atau “exit clause”, MITI serta agensi berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara meneliti aspek itu secara menyeluruh, termasuk implikasi undang-undang terhadap kedaulatan negara, menurutnya.