Kerajaan optimis ekonomi tumbuh 4.8%

Kerajaan optimis ekonomi tumbuh 4.8%

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata aktiviti ekonomi negara kekal berdaya tahan selain keyakinan pelabur terus meningkat tahun ini.

dewan negara
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, berkata kedudukan ekonomi turut disokong pelaburan diluluskan bagi tempoh 21 bulan daripada Januari 2024 hingga September 2025, RM663.7 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara mampu mencapai paras ambang tertinggi yang disasarkan iaitu 4.8% pada 2025, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, keyakinan itu mencerminkan aktiviti ekonomi negara kekal berdaya tahan dan keyakinan pelabur terus meningkat terhadap potensi ekonomi Malaysia.

Jelasnya, kedudukan ini turut disokong peningkatan pelaburan diluluskan bagi tempoh 21 bulan terkini (Januari 2024 hingga September 2025) iaitu sebanyak RM663.7 bilion.

“Selain itu, kadar inflasi terus menyederhana kepada 1.3% pada Oktober 2025,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Negara.

Amir Hamzah yang turut menjalankan fungsi dan tanggungjawab menteri ekonomi, berkata pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 akan dipacu jangkaan perbelanjaan domestik kukuh, disokong kadar inflasi sederhana, dan peningkatan pendapatan berikutan pasaran stabil buruh.

“Kerajaan akan memastikan setiap ringgit dibelanja memberi manfaat kepada rakyat. Kedudukan fiskal negara akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

“Kerajaan yakin unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.0 hingga 4.5% bagi 2026 akan dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan 2026, Amir Hamzah menegaskan penyediaan belanjawan tahunan telah diselaraskan sepenuhnya dengan kerangka RMK13 dan agenda pembangunan Ekonomi Madani.

“Pelaksanaan projek RMK13 dan belanjawan tahunan turut bergerak seiring bagi memastikan keberkesanan dasar, kecekapan perbelanjaan dan impak pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” tambahnya.

Selain itu, Amir Hamzah turut menekankan bahawa penglibatan syarikat tempatan akan diberi keutamaan dalam industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi serta sektor strategik berimpak tinggi.

“Pada tahun 2024 hingga September 2025, sebanyak RM5.54 bilion pelaburan strategik berkaitan semikonduktor telah diluluskan kepada lima syarikat antarabangsa dan tempatan.

“Pelaburan ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan industri semikonduktor dan memastikan lebih banyak penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bernilai tinggi,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.