
Di bawah peruntukan itu, platform dalam talian utama yang beroperasi di luar negara dianggap berada di bawah bidang kuasa Malaysia, walaupun platform berkenaan tidak mempunyai kehadiran fizikal atau berdaftar di negara ini.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri memuji langkah itu, sambil menyatakan ia akan memperkukuh objektif utama Onsa untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi di bawah rangka kerja kawal selia tanpa menjejaskan operasi platform global.
“(Ia bagi) memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak, dan penyebaran kandungan memudaratkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, SKMM mengumumkan bahawa di bawah peruntukan itu, semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa 1 Jan 2026.
Penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.
Dalam kenyataan berasingan, Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Pendidikan turut memuji SKMM, menyatakan inisiatif itu akan melindungi kanak-kanak daripada pendedahan seperti eksploitasi seksual, penipuan, gangguan dalam talian, dan kandungan tidak sesuai.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail juga berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama SKMM dan polis melindungi rakyat Malaysia dan memastikan keselamatan dalam talian dalam tempoh jangka panjang.
“Polis akan terus bekerjasama rapat dengan SKMM dan agensi lain melalui pendekatan ‘whole-of-government’.
“Ia bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan, siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat, serta mempercepat tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital,” katanya dalam kenyataan.