Langgar integriti, prosedur kerja, 19 pegawai AKPS KLIA kena tindakan

Langgar integriti, prosedur kerja, 19 pegawai AKPS KLIA kena tindakan

Seramai 19 pegawai AKPS KLIA yang tidak hadir bertugas dan langgar prosedur kerja diberikan amaran, tangguh pergerakan serta penurunan gaji.

AKPS KLIA turut membuka siasatan 43 kes tatatertib membabitkan penggunaan cap keselamatan masuk/keluar negara, kawalan pemeriksaan kaunter serta amalan ‘flying passport’ dan ‘counter setting’.’ (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil tindakan tatatertib terhadap 19 pegawainya atas pelbagai kesalahan membabitkan pelanggaran integriti dan prosedur kerja.

Menurutnya, kesalahan itu termasuk tidak hadir bertugas dan melanggar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan masuk/keluar negara.

Susulan itu, katanya, Lembaga Tatatertibnya yang bersidang 12 Dis lalu memutuskan mengambil tindakan tatatertib termasuk memberi amaran, tangguh pergerakan serta penurunan gaji sejajar peraturan perkhidmatan awam.

Pada masa sama, AKPS KLIA turut membuka siasatan terhadap 43 kes tatatertib membabitkan isu integriti, termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), prosedur dan peraturan kerja, khasnya penggunaan cap keselamatan masuk/keluar negara, kawalan pemeriksaan kaunter serta amalan “flying passport” dan “counter setting” yang menjejaskan integriti kawalan sempadan negara.

“AKPS KLIA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran integriti, terutamanya dalam aspek kawalan masuk dan keluar negara yang merupakan elemen kritikal keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.