Kekal pemimpin utama bermakna PM puas hati, Amanah ulas Jemaah Menteri baharu

Kekal pemimpin utama bermakna PM puas hati, Amanah ulas Jemaah Menteri baharu

Setiausaha Agung Muhammad Faiz Fadzil kata PM berpuas hati dengan prestasi Mohamad Sabu, Dzulkefly Ahmad, Adly Zahari, dan Athirah Sabu.

MAT SABU, DZULKEFLY AHMAD, ADLY ZAHARI DAN ATHIRAH SABU tile pic 161225
Presiden Amanah Mohamad Sabu dan naib, Dzulkefly Ahmad kekal di portfolio pertanian dan keterjaminan makanan dan kesihatan, begitu juga Adly Zahari dan Athirah Sabu di portfolio pertahanan dan perumahaan dan kerajaan tempatan.
PETALING JAYA:
Pengekalan empat pemimpin utama Amanah dalam saf menteri dan timbalan menteri baharu menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi mereka, menurut Muhammad Faiz Fadzil.

Setiausaha agung itu menegaskan keanggotaan dalam Jemaah Menteri merupakan prerogatif perdana menteri, “atas dasar kepimpinan bersama yang diamalkan Pakatan Harapan”.

“Walaupun tiada penambahan, namun pimpinan utama Amanah dalam Jemaah Menteri masih dikekalkan. Ini bermakna perdana menteri berpuas hati dengan prestasi empat pemimpin ini dan Amanah akan terus memberikan khidmat terbaik kepada portfolio masing-masing yang sangat penting kepada kelangsungan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terutama pertanian dan kesihatan,” katanya kepada FMT.

Pemimpin Amanah yang kekal bagi portfolio masing-masing adalah Presiden Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan Naib Presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).

Naib Presiden Adly Zahari (pertahanan) dan Ketua Wanita Athirah Sabu (perumahaan dan kerajaan tempatan) kekal sebagai timbalan menteri.

Ini merupakan rombakan kedua Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri pada November 2022.

Rombakan ini menyusuli kekosongan di empat portfolio, iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.

Menuju pengumuman hari ini, Anwar berkata pentadbirannya akan terus memberi keutamaan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.